CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjalankan siasatan berhubung kes memuat naik kandungan jelik melampau berunsur 3R terhadap Sultan Sharafuddin Idris Shah, Sultan Selangor.

MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya telah merakam percakapan seorang individu yang dipercayai pentadbir akaun Facebook HuaYan The Pureland Learning Centre bagi membantu siasatan.

Menurut kenyataan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, PDRM turut menjalankan siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Kes sama turut disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

MCMC menegaskan pihaknya memandang serius penyebaran kandungan jelik melampau terhadap institusi diraja kerana perbuatan itu boleh menjejaskan keyakinan awam selain mengganggu keharmonian serta ketenteraman masyarakat.

Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya menggunakan media sosial secara beretika dan bertanggungjawab, selain tidak menyebarkan kandungan berunsur jelik, hasutan atau fitnah, khususnya yang melibatkan institusi diraja.

Tegas MCMC, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.-BNN