KOTA KINABALU: Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor, Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles, menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berhubung keputusan Kerajaan Negeri menangguhkan dasar serta pelaksanaan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di Sabah.

Beliau berkata, langkah itu amat tepat dan wajar demi memastikan hak autonomi Sabah, khususnya berkaitan kuasa imigresen negeri, terus dipelihara selaras dengan semangat serta peruntukan yang termaktub dalam Malaysia Agreement 1963 (MA63).

Menurutnya, kuasa autonomi imigresen Sabah adalah antara perkara penting yang dipersetujui semasa pembentukan Malaysia dan tidak boleh dipandang ringan atau diketepikan dalam sebarang pelaksanaan dasar di peringkat Persekutuan.

“Sebarang pelaksanaan dasar yang melibatkan kawalan sempadan dan imigresen di Sabah perlu mengambil kira kedudukan khas negeri ini seperti yang termaktub dalam MA63 serta Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Haji Yazid berkata, rakyat Sabah sentiasa berharap agar hak negeri, termasuk kuasa autonomi imigresen, terus dihormati dan dipertahankan demi menjaga kepentingan serta kedaulatan Sabah.

Beliau turut menyeru Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri supaya meneruskan perbincangan secara teliti, harmoni dan berhemah agar sebarang dasar yang mahu dilaksanakan tidak menjejaskan hak istimewa Sabah.

Katanya, keputusan Kerajaan Negeri menangguhkan pelaksanaan AKPS di Sabah jelas mencerminkan komitmen pentadbiran negeri dalam mempertahankan hak serta kedudukan Sabah dalam Persekutuan Malaysia.

“Langkah ini menunjukkan Kerajaan Negeri sentiasa peka dan tegas dalam memastikan kepentingan serta autonomi Sabah terus dipelihara,” katanya.-pr/BNN