SEREMBAN: Kontinjen belia Sabah sekali lagi mencatat penyertaan tertinggi iaitu seramai 500 orang di dalam sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2026 bertempat di X Park Sendayan.

Menurut Presiden Majlis Belia Sabah (MBS), Abqaree Fawwaz Abekan angka tersebut merupakan bukti komitmen berterusan belia Sabah dalam menyahut seruan pembangunan belia di negara ini.

“Saban tahun kontinjen belia Sabah mencatatkan penyertaan tertinggi di setiap sambutan HBN yang diadakan di negeri-negeri terpilih sebagai tuan rumah.

“Ini merupakan bukti komitmen berterusan belia Sabah yang didokong oleh kerajaan negeri dalam usaha membangun belia di peringkat kebangsaan”, ujar Abqaree.

Pada masa sama, Abqaree turut meletakkan harapan agar kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meningkatkan fokus komitmen terhadap pembangunan belia di negeri itu yang kini mencatat populasi seramai 2.2 juta.

“Harapan kita kepada kerajaan Persekutuan khususnya KBS agar komitmen pembangunan belia Sabah dapat ditingkatkan terutama dalam aspek yang menyentuh keperluan belia Sabah.

“Sokongan dalam bentuk geran pembangunan keusahawanan, kesukarelawanan, kepimpinan, sukan, dan teknologi merupakan keperluan belia Sabah yang akan turut memberi impak terhadap pembangunan negeri Sabah bagi jangka panjang”, Abqaree menambah.

Terdahulu, seramai 500 orang delegasi kontinjen belia Sabah diketuai Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif (KBSK) Sabah Datuk Seri Dr Anil Sandhu menghadiri Sambutan HBN 2026 bertempat di X Park Sendayan, Seremban pada Jumaat.

Antara yang turut hadir dalam sambutan tersebut, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri KBS Dr Mohammed Taufiq Johari, Pembantu Menteri KBSK Datuk Seri Dr Anil Sandhu, dan Presiden Majlis Belia Sabah (MBS) Abqaree Fawwaz Abekan.-pr/BNN