KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menolak sekeras-kerasnya dakwaan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Warisan (Warisan) yang cuba menggambarkan kerajaan pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor sebagai meminggirkan masyarakat Cina di Sabah dengan menggunakan peruntukan kerajaan sebagai “alat politik”.
Timbalan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Kiulu, Datuk George Teo, menyifatkan kenyataan ADUN Api-Api, Loi Kok Liang itu sebagai tidak bertanggungjawab serta berpotensi menimbulkan syak wasangka dan perpecahan kaum dalam kalangan rakyat pelbagai etnik di negeri ini.
Beliau berkata, walaupun Warisan memenangi lapan daripada sembilan kerusi majoriti Cina pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, keadaan itu tidak pernah menyebabkan kerajaan pimpinan GRS mengabaikan masyarakat Cina di Sabah.
“Sebaliknya, keputusan itu menjadi pengajaran dan motivasi kepada kerajaan untuk bekerja lebih keras dalam memahami serta menangani isu yang dihadapi masyarakat Cina,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
George berkata, kerajaan pimpinan GRS yang mendapat sokongan 54 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kekal komited mempertahankan kepentingan seluruh rakyat Sabah tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik.
Menurutnya, pentadbiran negeri ketika ini mengamalkan pendekatan inklusif dengan mengutamakan kestabilan politik, keharmonian rakyat serta perpaduan antara kaum.
“Tidak wajar mana-mana pihak mengeluarkan tuduhan tidak berasas yang boleh mengganggu keharmonian masyarakat berbilang kaum di Sabah,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) merangkap Ketua Bahagian N.20 Api-Api, Sim Fui menegaskan kerajaan pimpinan GRS sentiasa menunjukkan komitmen terhadap pembangunan, kebajikan dan kepentingan masyarakat Cina menerusi pelbagai dasar dan inisiatif.
Beliau berkata, dakwaan kononnya kerajaan meminggirkan masyarakat Cina adalah tidak berasas serta bercanggah dengan rekod pentadbiran semasa.
“Kerajaan pimpinan GRS sentiasa mengamalkan pentadbiran yang adil dan inklusif untuk semua rakyat Sabah tanpa mengira kaum dan agama,” katanya.
Menurut Sim, antara bukti jelas komitmen kerajaan ialah peningkatan peruntukan sebanyak RM5 juta kepada sembilan Sekolah Menengah Persendirian Cina di Sabah selain pengiktirafan rasmi terhadap Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
Katanya, kerajaan negeri turut menyediakan biasiswa dan peluang pendidikan kepada graduan UEC sebagai sebahagian usaha memperkukuh pembangunan modal insan dalam kalangan masyarakat Cina di negeri ini.
Selain itu, beliau berkata, kerajaan negeri juga memperuntukkan RM70 juta kepada persatuan bukan Islam, rumah ibadat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi komuniti termasuk komuniti Cina.
“Semua inisiatif ini jelas membuktikan kerajaan pimpinan GRS tidak pernah meminggirkan mana-mana kaum atau komuniti hanya kerana perbezaan politik,” katanya.
Dalam pada itu, Sim menyeru semua pihak supaya menghentikan politik berasaskan kaum serta mengelakkan pembentukan naratif yang boleh mencetuskan salah faham dan ketegangan dalam kalangan masyarakat.
“Sabah selama ini dikenali kerana keharmonian antara pelbagai kaum dan agama.
“Apa yang rakyat perlukan ketika ini ialah kestabilan politik, pembangunan ekonomi dan perpaduan, bukannya politik kebencian serta perpecahan,” katanya.-pr/BNN




