KOTA KINABALU : Landskap politik di Sabah dan Sarawak berkembang melalui laluan yang berbeza sejak pembentukan Malaysia pada 1963, dipengaruhi oleh faktor sejarah, demografi serta corak kepimpinan tempatan.
Perkara itu dinyatakan oleh Datuk Seri Panglima Dr Salleh Said Keruak, Bendahari UMNO Sabah menerusi catatan di Facebook beliau.
Menurut bekas Ketua Menteri Sabah itu, Sarawak mengekalkan pendekatan politik berasaskan parti tempatan apabila UMNO tidak pernah bertapak di negeri tersebut demi memastikan kestabilan politik dan mengelakkan perpecahan sokongan Bumiputera, khususnya Bumiputera Islam.
Katanya, walaupun parti nasional seperti Parti Keadilan Rakyat, Democratic Action Party dan Parti Islam Se-Malaysia hadir membawa naratif reformasi, keadilan sosial dan politik pelbagai kaum, pengaruh mereka di Sarawak masih tertumpu di kawasan tertentu.
“Di Sarawak, kawasan luar bandar dan kawasan campuran kekal menjadi kekuatan parti-parti tempatan. Ini menjadikan negeri itu lebih cenderung kepada kepimpinan negeri dalam isu hak negeri, pembangunan dan pelaksanaan MA63,” katanya.
Salleh yang juga bekas Ahli Parlimen Kota Belud tiga penggal berkata, situasi di Sabah pula berbeza apabila UMNO memasuki negeri itu pada tahun 1991 atas jemputan Mustapha Harun dan USNO bagi menyatukan sokongan Bumiputera Islam.
Menurut beliau, UMNO kemudiannya memainkan peranan dominan dalam politik Sabah untuk suatu tempoh yang panjang.
Bagaimanapun, katanya, realiti politik semasa menunjukkan sokongan Bumiputera kini telah berpecah kepada beberapa blok politik dan UMNO bukan lagi wadah tunggal penyatuan.
“UMNO Sabah kini tidak lagi memainkan peranan dominan, sebaliknya menjadi pelengkap yang menyokong kerajaan negeri yang diterajui dan ditunjangi oleh gabungan parti-parti tempatan,” katanya.
Beliau menambah, masa depan UMNO di Sabah bergantung kepada sejauh mana parti itu dapat menerima realiti politik baharu serta membina kerjasama strategik demi memperkukuh perpaduan, pembangunan negeri dan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Secara keseluruhan, katanya, Sarawak kekal dipacu oleh kekuatan parti tempatan, manakala Sabah pula mengekalkan keseimbangan antara pengaruh parti tempatan dan peranan pelengkap parti nasional.-pr/BNN





