KOTA KINABALU: Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor, Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles, menyambut baik dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim, atas pengumuman Kerajaan Persekutuan yang bersetuju meningkatkan kadar Pemberian Khas interim kepada Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion setahun.
Beliau berkata, pengumuman yang dibuat sempena Sambutan Pesta Kaamatan Negeri Sabah 2026 itu merupakan satu perkembangan positif yang amat bermakna serta membuktikan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam memberi perhatian serius terhadap keperluan pembangunan dan kesejahteraan rakyat Sabah.
Menurutnya, peningkatan pemberian khas tersebut bukan sahaja memberikan manfaat besar kepada negeri ini, malah memperlihatkan kesungguhan kerajaan untuk terus memperkukuh hubungan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah.
“Pengumuman ini sudah tentu disambut dengan penuh kesyukuran oleh rakyat Sabah. Ia memberikan keyakinan bahawa suara dan aspirasi rakyat negeri ini sentiasa didengari serta diberi perhatian oleh Kerajaan Persekutuan.
“Pada masa sama, ia mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam menangani pelbagai isu berkaitan hak, kepentingan dan pembangunan Sabah secara berperingkat serta konstruktif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Yazid berkata, pengumuman berkenaan menjadi lebih signifikan apabila dibuat sempena Pesta Kaamatan, perayaan yang melambangkan kesyukuran, perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Sabah.
“Kaamatan tahun ini membawa makna yang cukup istimewa kepada rakyat Sabah. Kehadiran Perdana Menteri bukan sekadar memeriahkan sambutan, malah turut membawa berita yang memberikan harapan baharu kepada rakyat negeri ini.
“Ini membuktikan bahawa Kerajaan Persekutuan sentiasa komited untuk memastikan Sabah terus menikmati pembangunan yang seimbang serta menerima perhatian sewajarnya dalam agenda pembangunan negara,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berharap rundingan berhubung tuntutan 40 peratus hasil bersih Persekutuan yang diperuntukkan kepada Sabah dapat diteruskan sehingga mencapai penyelesaian yang adil, saksama dan memuaskan semua pihak.
“Rakyat Sabah amat menghargai peningkatan pemberian khas interim ini. Namun, pada masa yang sama, kami berharap perbincangan berkaitan tuntutan 40 peratus hasil bersih Persekutuan dapat diteruskan dalam semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Usaha ini penting bagi memastikan hak-hak Sabah yang termaktub dalam perjanjian tersebut dapat direalisasikan sepenuhnya demi kepentingan rakyat dan masa depan negeri ini,” katanya.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa hubungan erat antara Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan akan terus diperkukuhkan bagi mempercepatkan pembangunan, memperluaskan peluang ekonomi serta meningkatkan taraf hidup rakyat di seluruh negeri.
“Terima kasih kepada YAB Perdana Menteri atas keprihatinan yang ditunjukkan terhadap Sabah. Semoga pengumuman ini menjadi permulaan kepada lebih banyak berita baik untuk negeri ini pada masa hadapan.
“Harapan rakyat Sabah adalah untuk melihat pembangunan yang lebih pesat, pengagihan kemakmuran yang lebih adil serta masa depan yang lebih cerah untuk generasi akan datang tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang,” katanya.-pr/BNN




