KOTA KINABALU: Tourism Malaysia meraikan ketibaan pelawat domestik dan antarabangsa menerusi sambutan Pesta Kaamatan yang meriah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), hari ini, sebagai sebahagian daripada kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Majlis sambutan tersebut disempurnakan oleh Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim, dan turut dihadiri Pengarah Bahagian Sumber Manusia Tourism Malaysia, Muhamad Nasir Pahmi; Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Sabah, Chong Wai Kit; serta Ketua Pegawai Strategik Sabah Tourism Board, Humphrey Ginibun.
Turut memeriahkan acara ialah wakil syarikat penerbangan, penggiat industri pelancongan tempatan serta rakan strategik pelancongan.
Para pelawat yang tiba di KKIA disambut dengan pelbagai persembahan kebudayaan, hiasan bertemakan Kaamatan serta aktiviti interaktif yang mencerminkan keunikan warisan budaya Sabah. Mereka turut menerima cenderamata khas dan berpeluang menikmati hidangan tradisional tempatan seperti bambangan dan losun, yang memberikan pengalaman pertama yang istimewa mengenai kepelbagaian kulinari Malaysia.
Suasana sambutan menjadi lebih meriah dengan persembahan tarian tradisional dan muzik etnik Sabah yang menampilkan keaslian budaya tempatan. Acara tersebut turut diserikan dengan simbolik paluan gong oleh Mohd Amirul Rizal sebagai tanda perasmian sambutan.
Pesta Kaamatan yang diraikan setiap tahun pada bulan Mei merupakan perayaan tradisi masyarakat pribumi Sabah bagi menghormati semangat padi, Bambaazon. Perayaan ini melambangkan rasa kesyukuran, perpaduan dan kebanggaan terhadap warisan budaya yang menjadi identiti negeri Sabah.
Menurut Tourism Malaysia, penganjuran sambutan berkenaan selaras dengan usaha memperkukuhkan pelancongan budaya negara serta memperkaya pengalaman pelawat menjelang VM2026.
Bersempena sambutan Kaamatan dan Gawai, Tourism Malaysia turut menganjurkan Program Mega Fam selama lapan hari bermula 29 Mei hingga 5 Jun 2026. Program itu melibatkan 15 pempengaruh dan wakil media dari beberapa negara termasuk Filipina, Vietnam, China, Korea Selatan dan India bagi mempromosikan keunikan sambutan budaya Malaysia kepada pasaran antarabangsa.
Inisiatif tersebut bertujuan memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang kaya dengan kepelbagaian budaya, selain mengetengahkan pelbagai produk pelancongan menarik yang terdapat di seluruh negara.
Sehingga Mac 2026, Malaysia merekodkan 10.6 juta ketibaan pelawat antarabangsa, meningkat 5.4 peratus berbanding 10.1 juta ketibaan dalam tempoh sama tahun lalu. Pencapaian itu mencerminkan momentum positif industri pelancongan negara di bawah kempen VM2026.
Melalui sambutan budaya seperti Kaamatan dan Gawai, Tourism Malaysia terus memperkukuhkan imej Malaysia sebagai destinasi yang menawarkan gabungan unik budaya, warisan dan pengalaman autentik. Usaha ini sejajar dengan matlamat VM2026 untuk merangsang pertumbuhan sektor pelancongan, menggalakkan lawatan berulang, menyokong pembangunan pelancongan mampan serta memperkukuhkan identiti masyarakat majmuk Malaysia.-pr/BNN





