KOTA KINABALU: Dalam menilai kejayaan sesebuah kerajaan, rakyat tidak seharusnya hanya terpengaruh dengan retorik politik atau polemik semasa. Sebaliknya, prestasi sesebuah pentadbiran perlu diukur berdasarkan hasil yang boleh dibuktikan melalui data dan pencapaian yang nyata.

Dalam konteks perjuangan hak kewangan Sabah, angka yang direkodkan sepanjang enam tahun kebelakangan ini memberikan gambaran yang amat jelas.

Sehingga tahun 2020, Sabah hanya menerima Geran Khas Tahunan berjumlah RM53.4 juta daripada Kerajaan Persekutuan. Namun pada tahun 2026, jumlah tersebut telah meningkat kepada RM1.5 bilion setahun. Ini bermakna Geran Khas Sabah telah meningkat hampir 28 kali ganda dalam tempoh hanya enam tahun.

Peningkatan yang luar biasa ini bukan berlaku secara kebetulan. Ia adalah hasil daripada usaha yang konsisten, pendekatan diplomatik yang berkesan serta strategi rundingan yang tersusun yang diterajui oleh Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, bersama barisan kepimpinan kerajaan negeri dalam memperjuangkan hak-hak Sabah berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Kejayaan ini juga memberikan konteks yang lebih jelas terhadap pujian yang diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, terhadap kepimpinan Hajiji baru-baru ini.

Kenyataan yang kini menjadi perhatian ramai apabila Anwar menyifatkan Hajiji sebagai seorang pemimpin yang tidak banyak bercakap tetapi “menikam” dengan tindakan sebenarnya merujuk kepada gaya kepimpinan beliau yang tenang, tidak konfrontasional, namun berkesan dalam menghasilkan keputusan.

Menurut Perdana Menteri, Hajiji bukanlah seorang pemimpin yang gemar membuat kenyataan sensasi atau bermain politik persepsi. Sebaliknya, beliau lebih cenderung bekerja secara senyap, fokus kepada rundingan dan penyelesaian yang membawa manfaat langsung kepada rakyat Sabah.

Hakikatnya, peningkatan Geran Khas Sabah merupakan bukti paling jelas kepada keberkesanan pendekatan tersebut.

Daripada perspektif ekonomi, pencapaian ini boleh dianggap sebagai antara kejayaan fiskal paling signifikan dalam sejarah moden Sabah.

Peningkatan hasil yang diperoleh melalui rundingan ini memperkukuhkan kedudukan kewangan negeri serta mewujudkan ruang fiskal yang lebih besar untuk membiayai pembangunan infrastruktur, meningkatkan mutu pendidikan dan perkhidmatan kesihatan, memperluaskan jaringan utiliti asas serta merangsang pertumbuhan ekonomi secara menyeluruh.

Lebih penting lagi, kejayaan ini membuktikan bahawa hubungan kerja yang konstruktif antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan mampu menghasilkan manfaat yang lebih besar berbanding pendekatan yang bersifat konfrontasi semata-mata.

Sudah tentu, perjuangan Sabah masih belum selesai. Bayaran RM1.5 bilion yang diumumkan bagi tahun 2026 masih bersifat interim, sementara rundingan untuk memuktamadkan pelaksanaan hak Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan dan formula 40 peratus hasil bersih Persekutuan masih diteruskan.

Namun demikian, dalam menilai kemajuan yang telah dicapai, rakyat perlu berlaku adil terhadap fakta.

Peningkatan daripada RM53.4 juta kepada RM1.5 bilion dalam tempoh enam tahun bukanlah pencapaian kecil. Ia merupakan satu lonjakan yang luar biasa dalam sejarah tuntutan kewangan Sabah dan membuktikan bahawa negeri ini sedang bergerak ke arah yang lebih kukuh dari segi kedudukan fiskal.

Dalam dunia ekonomi, prestasi diukur melalui angka, bukan slogan. Dan angka yang ada hari ini menunjukkan satu hakikat yang sukar disangkal: dalam tempoh enam tahun, Geran Khas Sabah telah meningkat hampir 28 kali ganda.

Itulah ukuran sebenar sebuah kepimpinan yang menghasilkan keputusan, kepimpinan yang tidak semestinya lantang, tetapi mampu membawa hasil yang nyata kepada negeri dan rakyat.

Oleh Dr. Awang Faisal Assyiffa JP, Ahli Ekonomi- pr/BNN