KOTA KINABALU: Pasangan golfer adik beradik, Khayr Akhtar Ummar Ariff dan Muhammad Yahya Ummar Ariff terus menyinar dalam sukan golf Sabah dengan mengungguli Kejohanan Golf Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2026.

Muhammad Yahya menjuarai kategori 12 tahun lelaki manakala Khayr Akhtar mengakhiri saingan dalam kelompok 8 teratas kategori 15 tahun lelaki dalam MSSM yang diadakan di lapangan Sutera Harbour, Sabah Golf & Country Club dan Nexus Golf Resort Karambunai pada 7 hingga 12 Jun lalu.

Ia merupakan dominasi berterusan kedua beradik itu selepas menjuarai kategori masing-masing pada edisi MSS Sabah pada bulan Mei tahun ini.

Selain menjuarai kategori berkenaan,  Muhammad Yahya turut mengharumkan nama Sabah dengan keputusan tempat keempat dalam kategori berpasukan lelaki 12 tahun.

Muhammad Yahya ketika ditemui teruja dengan keputusan tersebut dan berharap momentumnya terus dikekalkan untuk membawa nama Sabah ke persada antarabangsa dalam sukan golf.

“Selepas kejayaan saya dan abang, Khayr Akhtar kami berharap momentum ini dapat diteruskan menerusi kejohanan yang lain.

“Saya akan bermain pada kategori saya iaitu di Miri Sarawak  pada bulan Julai manakala abang saya pula akan ke Jakarta, Indonesia.

“Alhamdulillah, berkat latihan dan sokongan kuat daripada ibu bapa, kami berdua berjaya dalam cabaran kali ini dan amat berharap ianya diteruskan dalam siri kejohanan akan datang, “katanya.-pr/BNN