KOTA KINABALU: Golongan usahawan Sabah disaran untuk terus memperkukuh kreativiti, mempelbagaikan produk serta memahami kehendak pasaran semasa bagi memastikan perniagaan mereka kekal relevan dan berdaya saing.
Ketua Pegawai Eksekutif Sabah International Convention Centre (SICC), Datuk Dr Rosmahwati Lasuki berkata, usahawan perlu sentiasa peka terhadap perubahan trend pengguna dan berani meneroka idea baharu dalam menghasilkan produk yang mempunyai nilai tambah.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat rombongan Persatuan Muslimah Tijarah Sabah (Permata Tijarah Sabah) di SICC di sini kelmarin.
Rombongan tersebut diketuai oleh Penasehat: Datin Hjh Wahida Mardiana Norsalim, Presiden Permata Tijarah Sabah, Hajah Ruhayah Haji Yunus dan turut disertai Timbalan Presiden, Hajah Haninah Abubakar Titingan; Setiausaha, Datin Hajah Sabariah Katjo; serta Bendahari, Hajah Hindun Abubakar Titingan serta jawatankuasanya.
Menurut Rosmahwati, kepelbagaian produk amat penting terutama dalam penganjuran ekspo dan pameran keusahawanan bagi mengelakkan lambakan produk yang sama sehingga menjejaskan peluang jualan peserta.
“Usahawan perlu membuat kajian terhadap kehendak pengguna dan trend pasaran semasa. Kreativiti serta inovasi adalah antara faktor utama yang mampu membezakan sesuatu produk daripada produk lain di pasaran,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa sektor makanan dan minuman menawarkan peluang yang luas kepada usahawan untuk menghasilkan produk yang unik dan berbeza daripada kebiasaan.
Dalam pada itu, Rosmahwati berkata industri kopi kini berkembang pesat dan bukan lagi sekadar minuman harian, malah telah menjadi sebahagian daripada gaya hidup masyarakat.
“Pengusaha kopi perlu menonjolkan identiti tersendiri sama ada melalui kualiti biji kopi, konsep perniagaan atau pengalaman yang ditawarkan kepada pelanggan. Keunikan inilah yang mampu menarik perhatian pengguna,” katanya.
Menyentuh mengenai penyertaan golongan muda dalam bidang keusahawanan, beliau berkata ramai belia kini lebih cenderung menceburi bidang penciptaan kandungan digital kerana dilihat mampu menjana pendapatan secara lebih cepat dan fleksibel.
Bagaimanapun, beliau berpandangan bahawa bidang keusahawanan masih mempunyai potensi besar untuk diterokai oleh generasi muda dan perlu terus diperkasakan melalui pendedahan, latihan serta sokongan yang berterusan.
Beliau berharap kunjungan tersebut dapat membuka ruang kerjasama yang lebih luas antara SICC dan Permata Tijarah Sabah dalam memperkasakan usahawan wanita serta memperluaskan peluang perniagaan di negeri ini.-pr/BNN





