TUARAN: Ketua Menteri, Hajiji Noor berkata Sabah berjaya mencapai sifar Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar daripada jumlah yang direkodkan pada Januari 2026, melibatkan seramai 10,825 KIR.
Beliau berkata, berdasarkan data eKasih sehingga 31 Mei 2026, jumlah KIR miskin tegar yang direkodkan pada Januari lalu telah berjaya dikurangkan sebanyak 100 peratus menerusi pelaksanaan pelbagai intervensi bantuan yang dilaksanakan secara bersepadu oleh Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
“Pencapaian ini membuktikan bahawa pendekatan berasaskan data, penyelarasan bantuan melalui Sistem Pangkalan Data Negeri Sabah (PADANS) dan eKasih serta pelaksanaan intervensi bantuan yang disasarkan telah berjaya membawa perubahan ketara kepada kumpulan sasar.
“Bagaimanapun, pencapaian ini bukan penamat perjuangan kita. Kerajaan Negeri menyedari masih terdapat rakyat yang memerlukan perhatian dan bantuan.
“Berdasarkan data eKasih sehingga 31 Mei 2026, seramai 57,710 KIR masih berada dalam kategori miskin berbanding 70,298 pada Januari 2026, iaitu pengurangan sebanyak 17.9 peratus dalam tempoh empat bulan,” katanya ketika melancarkan Program Outreach Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) bagi daerah Tuaran di Dewan Sri Sulaman, di sini, pada Selasa.
Ketua Menteri berkata jumlah keseluruhan individu yang diklasifikasikan sebagai miskin turut menunjukkan penurunan ketara.
Menurut beliau, jumlah KIR dan Ahli Isi Rumah (AIR) miskin menurun daripada 743,939 orang pada Januari 2026 kepada 577,110 orang pada Mei 2026.
Merujuk kepada Survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2024 yang diterbitkan oleh Department of Statistics Malaysia, Hajiji berkata kadar kemiskinan mutlak Sabah menurun daripada 19.7 peratus pada 2022 kepada 17.7 peratus pada 2024.
Sementara itu, kadar kemiskinan tegar turut menunjukkan penurunan daripada 1.2 peratus pada 2022 kepada 0.7 peratus pada 2024, iaitu pengurangan sebanyak 0.5 mata peratusan.
“Walaupun Sabah masih mencatat kadar kemiskinan mutlak dan kemiskinan tegar tertinggi di Malaysia, penurunan kadar ini menunjukkan pelbagai dasar dan program pembangunan yang dilaksanakan kerajaan mula membuahkan hasil,” katanya.
Hajiji berkata pencapaian sifar miskin tegar pada 2026 merupakan satu pencapaian penting dalam perjalanan Sabah ke arah pembangunan sosial yang lebih inklusif.
“Namun, cabaran sebenar yang masih perlu ditangani ialah mengurangkan kadar kemiskinan negeri yang masih lebih tinggi berbanding negeri-negeri lain.
“Oleh itu, SMJ 2.0 menetapkan hala tuju yang jelas untuk mengurangkan kadar kemiskinan secara berperingkat sehingga menghampiri kadar nasional menjelang 2030 menerusi pelaksanaan program pembangunan yang lebih bersasar, berimpak tinggi dan mampan,” katanya.
Kerajaan Negeri menyasarkan kadar kemiskinan mutlak Sabah dikurangkan secara progresif kepada sekitar tiga hingga lima peratus dan kadar kemiskinan tegar kepada antara sifar hingga 0.1 peratus menjelang 2030.
Bagi mencapai matlamat itu, kerajaan akan terus melaksanakan Program Pembasmian Kemiskinan dan Kemiskinan Tegar Sabah yang memberi tumpuan kepada penyediaan perumahan mampu milik, pembangunan modal insan, penciptaan pekerjaan, peningkatan kemahiran, pembangunan ekonomi luar bandar serta bantuan kewangan bersasar kepada golongan memerlukan.
Beliau berkata pendekatan itu selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan manfaat pembangunan dinikmati secara adil dan saksama oleh semua rakyat Sabah tanpa mengira lokasi, latar belakang atau status ekonomi.
Usaha pembasmian kemiskinan tegar kerajaan dipandu oleh lima strategi intervensi utama iaitu bantuan perumahan melalui penyediaan rumah percuma di bawah Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya, bantuan pekerjaan menerusi Program MySMJ Kerja, bantuan modal insan dan pendidikan melalui 14 jenis bantuan pendidikan termasuk biasiswa Kerajaan Negeri Sabah serta bantuan daripada Yayasan Sabah dan MUIS.
Intervensi keempat ialah bantuan kebajikan yang memfokuskan golongan tidak produktif seperti warga emas, pesakit terlantar dan orang kurang upaya (OKU), manakala intervensi kelima ialah bantuan keusahawanan dan pemerkasaan ekonomi melalui program seperti Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) dan Sejahtera MADANI.
Ketua Menteri berkata Kerajaan Negeri meletakkan pembasmian kemiskinan sebagai keutamaan utama dalam agenda pembangunan negeri.
“Ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan tiada rakyat yang tercicir dalam arus pembangunan serta setiap warga menikmati kualiti hidup yang lebih baik. Sehubungan itu, usaha yang dimulakan di bawah Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 diteruskan dan diperkukuhkan melalui Pelan Pembangunan SMJ 2.0,” katanya. -pr/BNN





