KOTA KINABALU: Bekas Pengerusi Tetap STAR N40 Bingkor, Haji Yazid Mohd Hasnan Tawik @ Charles, menyambut baik keputusan Majlis Tertinggi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang sebulat suara menerima Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) sebagai ahli baharu gabungan itu.

Beliau berkata, penyertaan UPKO merupakan satu langkah positif yang akan memperkukuhkan lagi GRS di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, sekali gus memperlihatkan kematangan politik serta semangat kebersamaan dalam kalangan parti-parti tempatan.

Menurutnya, keputusan yang dicapai secara sebulat suara tanpa sebarang bantahan itu turut membuktikan komitmen semua parti komponen GRS untuk terus mengutamakan kepentingan rakyat dan masa depan Sabah.

“Hasil perpaduan inilah yang perlu terus dipelihara bagi memastikan kestabilan politik, kemajuan ekonomi serta kesejahteraan rakyat Sabah dapat terus diperkasakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Yazid turut mengucapkan tahniah kepada semua parti komponen GRS yang menunjukkan semangat perpaduan dan kesepakatan dalam membuat keputusan berhubung kemasukan UPKO.

Beliau berharap UPKO akan memberikan komitmen yang tidak berbelah bahagi serta memainkan peranan aktif dalam memperkukuhkan perjuangan GRS berteraskan slogan “Sabah United, Sabah First”.

Katanya, penyertaan parti itu diyakini mampu menjadikan GRS lebih kukuh, inklusif dan bersedia menghadapi pelbagai cabaran pada masa hadapan.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua parti dalam GRS supaya terus mengenepikan perbezaan, memperkukuhkan persefahaman serta meletakkan kepentingan rakyat Sabah mengatasi segala kepentingan lain.

“Perpaduan, keikhlasan dan kesetiaan kepada perjuangan bersama adalah kunci kekuatan GRS dalam memastikan Sabah terus menikmati kestabilan dan pembangunan yang mampan,” katanya.

Beliau berharap GRS akan terus menjadi wadah utama yang menyatukan rakyat pelbagai kaum, agama dan latar belakang demi membawa Sabah ke arah yang lebih maju, makmur dan sejahtera.-pr/BNN