KENINGAU : Ketua Bahagian PGRS, N39 Tambunan, Dato’ Victor Peter Paut hari ini mengumumkan pemberian sumbangan Satu Kanopi Satu Mukim bagi seluruh daerah Tambunan.
Menurutnya, sumbangan tersebut bertujuan untuk meringankan beban komuniti selain sebagai tanda sokongan terhadap aktiviti atau program di peringkat kampung samada berkaitan kebudayaan, acara keagamaan dan sebagainya.
“Sumbangan ini juga akan dapat mengurangkan kos jika terdapat penganjuran sebarang program atau aktiviti di mukim berkenaan.
Kita menyokong pelaksanaan program masyarakat serta mengukuhkan semangat kebersamaan dan perpaduan di kalangan Tambunan itu sendiri,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Beliau yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera Sdn Bhd itu berkata, meskipun ianya sudah berlangsung sejak tahun 2024 lagi namun mana-mana mukim di daerah ini yang belum menerima sumbangan kanopi berkenaan bolehlah membuat rujukan ke Pejabat PGRS N39 Tambunan pada waktu pejabat.
Setakat ini, daerah Tambunan terdiri dari 7 mukim iaitu Mukim Sunsuron, Mukim Kirokot, Mukim Patau, Mukim Lintuhun, Mukim Monsorulung, Mukim Nambayan dan Mukim Toboh.
Kesemua mukim ini merangkumi sebanyak 77 buah perkampungan di seluruh daerah Tambunan.-pr/BNN





