KOTA KINABALU: Aktivis politik, Aksyah Haji Nasrah, menyifatkan pendekatan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 sebagai satu anjakan paradigma yang memberi tumpuan kepada pelaburan berkualiti, pembiayaan ekologi dan pulangan impak sosial jangka panjang, berbanding retorik politik sempit yang didakwa dimainkan pihak pembangkang.
Beliau berkata, Sidang Kemuncak Pelaburan Impak Asia Pasifik yang berlangsung di Kota Kinabalu pada Isnin, bukan sekadar sebuah majlis korporat, sebaliknya mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam membentuk dasar pembangunan ekonomi yang lebih mampan dan berdaya saing.
Menurutnya, menerusi teks ucapan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang disampaikan Menteri Kewangan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Sabah kini menapis pelabur berasaskan metrik kualiti, pembiayaan ekologi dan pulangan impak sosial jangka panjang, bukannya sekadar memburu keuntungan komersial jangka pendek.
Dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook, Aksyah berkata terdapat empat hujah berasaskan fakta yang, menurutnya, membuktikan pendekatan pentadbiran GRS jauh lebih berkesan berbanding naratif yang dibawa pembangkang.
Beliau berkata, dari aspek kecekapan alokasi masa dan fokus eksekutif, pentadbiran Hajiji secara prinsipnya tidak mempunyai masa untuk melayan polemik politik serta manipulasi isu lama yang dimainkan di media sosial.
Katanya, ketika ejen politik tertentu sibuk menghasut anak muda supaya berdemonstrasi di jalanan, tindakan yang menurutnya boleh menjejaskan keyakinan pelabur global, kerajaan negeri memilih untuk mengunci fokus eksekutif bagi menstrukturkan ekonomi Sabah daripada sektor primer kepada ekonomi pelbagai yang mampan.
“Ekonomi wilayah dibina dengan strategi, bukan dengan jeritan di tepi jalan,” katanya.
Mengulas pembangunan modal insan, Aksyah berkata pertumbuhan ekonomi yang mampan di bawah agenda SMJ 2.0 memerlukan pasaran buruh yang kompetitif.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan GRS tidak pernah berkira melaburkan dana dan peruntukan bajet yang besar bagi melahirkan generasi anak Sabah yang berakhlak, berilmu dan berkemahiran tinggi kerana modal insan berkenaan merupakan aset yang dicari pelabur berkualiti di rantau Asia Pasifik.
Beliau turut mendakwa pembangkang sengaja memejamkan mata terhadap limpahan peruntukan pendidikan kerana lebih gemar menjadikan mahasiswa sebagai modal politik.
Menyentuh isu kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya, Aksyah berkata rakyat perlu melihat pembangunan infrastruktur secara lebih adil berdasarkan garis masa pelaksanaannya.
Katanya, kerja pembaikan dan pelaksanaan projek kini sedang giat dijalankan di seluruh pelosok negeri, selain mengingatkan bahawa pemimpin pembangkang sendiri pernah mengakui ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16 bahawa penyediaan infrastruktur asas memerlukan tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun.
“Namun hari ini mereka menuntut kerajaan GRS menyelesaikan masalah puluhan tahun dalam sekelip mata, sedangkan pentadbiran GRS kali ini baru berusia lapan bulan.
“Mengapa sewaktu berkempen mereka meminta tiga tahun, tetapi apabila GRS memerintah baru lapan bulan mereka menghasut rakyat seolah-olah projek infrastruktur boleh siap dalam tempoh 24 jam,” katanya.
Beliau berkata, naratif ekonomi tidak boleh dipengaruhi retorik jalanan, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan pencapaian sebenar termasuk kejayaan Sabah mengekalkan status sebagai penyerap karbon bersih (karbon negatif) serta usaha melindungi 30 peratus kawasan hutan negeri.
Aksyah turut menyifatkan pencapaian itu sebagai bukti tadbir urus kerajaan negeri berasaskan hasil yang nyata.
Beliau berkata, rakyat Sabah mampu menilai perbezaan antara pentadbiran yang membawa pulangan dana interim bernilai berbilion ringgit dengan pembangkang yang hanya memutar belit fakta.
“Bayangkan, meskipun dihina sebagai ‘kerajaan gagal’ dalam kempen pilihan raya yang lalu, angka-angka ekonomi akhirnya menjawab segala-galanya.
“Sabah diambil dalam keadaan yang tenat, namun kini semakin pulih dan kembali bugar. Empayar Rom yang bertahan selama ribuan tahun juga tidak dibina dalam tempoh lapan bulan. Justeru, rakyat harus menilai pencapaian kerajaan berdasarkan fakta dan realiti, bukannya persepsi,” katanya.-pr/BNN





