BANDAR SERI BEGAWAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengiringi Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, di Istana Nurul Iman di sini, pada Rabu.
Turut hadir dalam sesi menghadap itu ialah isteri Ketua Menteri, Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Zainudin Aman, serta isterinya, Datin Hajah Siti Yuslaini Mohd. Samsuri.
Terdahulu pada sebelah pagi, Hajiji dan isteri merupakan antara tetamu kenamaan yang menghadiri Istiadat Barisan Kehormatan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-80 Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Taman Haji Sir Muda Omar ’Ali.
Mereka kemudian menghadiri Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran sempena sambutan tersebut yang berlangsung di Istana Nurul Iman, menyaksikan penganugerahan darjah kebesaran Negara Brunei Darussalam.
Sepanjang lawatan rasmi itu, Hajiji turut menghadiri beberapa istiadat rasmi lain sempena sambutan berkenaan, termasuk Majlis Santapan Negara sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-80 Sultan Brunei yang diadakan pada petang Khamis.
Sementara itu, Ketua Menteri dan isteri tiba di Brunei pada Selasa bagi mewakili Kerajaan Negeri Sabah dalam sambutan rasmi berkenaan, sekali gus mencerminkan hubungan erat serta persahabatan yang telah lama terjalin antara Sabah dan Brunei Darussalam.-pr/BNN





