TUARAN: Penjaja dan peniaga kecil yang menjalankan perniagaan di tepi jalan di kawasan Sulaman akan menerima bantuan tunai sebanyak RM3,000 seorang, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman berkata, beliau telah mengarahkan Pegawai Daerah Tuaran supaya menyenaraikan semua peniaga kecil di kawasan Sulaman bagi membolehkan bantuan tersebut disalurkan.

“Sebagai wakil rakyat di kawasan ini, saya telah membuat janji tersebut dan berharap senarai itu dapat disiapkan dalam masa terdekat,” katanya ketika merasmikan Karnival Usahawan dan STEM X Challenge yang diadakan sempena Perlawanan Akhir Piala Dunia FIFA 2026 di Pusat Kebudayaan Bajau Sama, Lok Batik, di sini malam ini.

Hajiji berkata, beliau memahami keperluan peniaga kecil yang kebanyakannya amat memerlukan bantuan berkenaan.

Dalam pada itu, beliau berkata penganjuran Karnival Usahawan dan STEM X Challenge amat bermakna kerana mampu membantu usahawan kecil mengembangkan perniagaan mereka.

“Program ini memberi dorongan serta peluang kepada usahawan kecil, khususnya golongan belia, untuk terus menceburi bidang perniagaan.

“Bukan semua orang dapat bekerja sebagai penjawat awam, tetapi kita boleh memilih untuk berniaga dan menjadi usahawan.

“Jika berjaya sebagai usahawan, kita mampu menjana pendapatan yang lebih baik. Yang paling penting ialah kita mesti rajin dan tidak malu untuk berusaha,”katanya.

Ketua Menteri turut berkata kerajaan menyediakan pelbagai bentuk bantuan kepada usahawan, khususnya golongan belia, bagi membantu mereka terus maju.

Mengenai STEM X Challenge, beliau berkata bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) amat penting dalam era moden ketika ini.

“Anak-anak kita perlu menguasai STEM kerana bidang ini penting untuk mencapai kejayaan serta memainkan peranan besar dalam pembangunan negara dan masyarakat,” katanya.

Beliau menambah, program yang diinspirasikan sempena Piala Dunia FIFA 2026 itu turut membawa mesej bahawa semangat kesukanan boleh diterapkan dalam bidang pendidikan dan inovasi.

“Sebagaimana sukan memerlukan disiplin, strategi, kerja berpasukan dan semangat juang yang tinggi, STEM serta keusahawanan juga memerlukan nilai-nilai yang sama untuk mencapai kejayaan,” katanya.-pr/BNN