KOTA KINABALU: Mantan Pegawai Khas (Politik & Belia) kepada Timbalan Ketua Menteri I Sabah, Muhammad Faisal Mohamad Mohidin hari ini mengeluarkan amaran keras kepada semua parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta penganalisis politik di Semenanjung agar menghentikan sebarang usaha mengheret Sabah dan Sarawak ke dalam kancah percaturan politik Persekutuan.
Beliau menegaskan bahawa kestabilan politik di Blok Borneo tidak seharusnya diganggu oleh ketidaktentuan serta perebutan kuasa yang berlaku di Putrajaya.
“Sabah dan Sarawak mempunyai identiti, kematangan serta acuan politik kami yang tersendiri. Kami mengamalkan politik yang berpaksikan keharmonian kaum, toleransi yang tinggi dan fokus kepada pembangunan rakyat. Jangan sesekali mengimport budaya politik toksik, ekstremisme atau retorik perkauman ke bumi Borneo demi kepentingan kuasa kelompok tertentu,” tegas beliau.
Menyentuh mengenai landskap pentadbiran negara, beliau turut menegaskan pendirian wilayah Borneo berhubung tuntutan hak yang telah sekian lama tertunggak.
1. Siapa Pun Kerajaan Pusat, MA63 Wajib Dilaksanakan
Sesiapa sahaja atau mana-mana gabungan yang membentuk Kerajaan Persekutuan di Putrajaya mempunyai tanggungjawab yang sama untuk melaksanakan sepenuhnya hak-hak Sabah dan Sarawak sebagaimana yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
2. Tuntut Hak, Bukan Meminta Ihsan
Tuntutan seperti pemulangan 40 peratus hasil bersih Sabah, autonomi dalam bidang pendidikan dan kesihatan serta agihan pembangunan yang lebih adil bukanlah satu keistimewaan atau “hadiah” politik. Sebaliknya, ia merupakan hak yang dijamin oleh Perlembagaan dan MA63 yang wajib dilaksanakan tanpa dijadikan bahan tawar-menawar (bargaining chip) setiap kali berlaku krisis politik.
3. Fokus Kepada Agenda Tempatan
Pentadbiran di Sabah dan Sarawak kini berada pada landasan terbaik dalam mengurus autonomi imigresen, memperkukuh tadbir urus serta menjaga kebajikan anak watan. Sebarang cubaan mengganggu kestabilan politik negeri hanya akan merencatkan agenda pembangunan infrastruktur dan usaha merapatkan jurang pembangunan di Borneo.
4. Sokong Agenda Sabah Maju Jaya
Hala tuju pentadbiran di bawah kepimpinan Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri Sabah telah dibina di atas asas yang kukuh. Keutamaan ketika ini ialah memperkukuh perpaduan rakyat serta memastikan kestabilan politik negeri terus terpelihara demi menjamin pembangunan yang mampan dan berterusan.
Beliau turut menyeru semua pihak agar menghormati pendekatan politik yang diamalkan di Sabah dan Sarawak.
“Cukuplah percaturan politik di Semenanjung. Hormatilah acuan politik kami di Borneo. Hormatilah kami sebagai rakan kongsi yang setara dalam pembentukan Malaysia. Dan yang paling utama, laksanakan segala hak yang menjadi milik mutlak rakyat Sabah dan Sarawak sebagaimana yang dijamin di bawah MA63. Kelangsungan agenda pembangunan demi kesejahteraan rakyat adalah jauh lebih penting daripada sebarang percaturan politik.”-pr/BNN





