KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyaksikan penyerahan sumbangan berjumlah RM89.461 juta daripada SMJ Energy Sdn Bhd (SMJE) kepada Kerajaan Negeri di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sabah, hari ini.

Dalam majlis ringkas itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SMJE, Datuk Dr Dionysia Kibat menyerahkan cek replika kepada Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan, Datuk Mohd Sofian Alfian Nair, bagi bayaran dividen RM50 juta untuk tahun kewangan berakhir 2025 dan RM37.96 juta Cukai Jualan Negeri (SST) yang perlu dibayar kepada Kerajaan Negeri bagi tahun lalu.

Sejak 2023, SMJ Energy telah membayar keseluruhan RM210 juta dividen kepada Kerajaan Negeri.

Bayaran dividen itu dibuat daripada rizab boleh agih, disokong kedudukan kewangan yang kukuh, aliran tunai yang lebih baik serta pengurusan kewangan berdisiplin di seluruh Kumpulan.

Sehingga 31 Disember 2025, jumlah aset Kumpulan SMJ Energy mencecah RM4.82 bilion dan mencatat keuntungan selepas cukai sebanyak RM58.7 juta meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi, sosial dan geopolitik.

Dr Dionysia turut menyerahkan sumbangan CSR sebanyak RM1 juta kepada Tabung Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah dan RM500,000 kepada Yayasan Kebajikan Sabah (YKS).

Ketua Menteri berkata pembayaran dividen dan penyerahan SST itu mencerminkan prestasi kewangan SMJE yang mampan serta kejayaan syarikat memenuhi mandat Kerajaan Negeri untuk meningkatkan penyertaan Sabah dalam sektor minyak dan gas.

Beliau turut berkata sumbangan CSR berkenaan membuktikan komitmen syarikat milik Kerajaan Negeri terhadap pembangunan modal insan dan kebajikan sosial di Sabah.

Sementara itu, Pengerusi SMJ Energy, Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun berkata prestasi syarikat membuktikan kepentingan mengurus aset strategik Sabah secara berdisiplin, profesional dan berpandangan jauh bagi memastikan manfaat berterusan kepada negeri serta generasi akan datang.-pr/BNN