PAPAR: Loji Rawatan Air (WTP) Kogopon berkapasiti 80 juta liter sehari (MLD) dan loji pengambilan air mentah baharu Kabang di sini dijangka masing-masing mula beroperasi pada November dan Ogos tahun ini.
Kedua-dua projek itu dijangka dapat menangani masalah kekurangan bekalan air di kawasan Papar, Putatan dan Kimanis.
Sehubungan itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengarahkan Jabatan Air Negeri supaya memantau rapat projek berkenaan dan memastikan ia disiapkan tanpa kelewatan lagi.
“Jadilah lebih proaktif dalam menangani isu kekurangan air dengan menghantar lori tangki air ke kawasan yang terjejas, bukan sahaja di sini tetapi di semua kawasan di negeri ini.
“Masalah bekalan air merupakan isu legasi, namun sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita mahu menanganinya,” katanya ketika menghadiri taklimat mengenai kedua-dua projek itu di Langkah Syabas Resort, dekat sini hari ini.
Sebelum itu, Pengarah Jabatan Air Negeri, Chee Chun Chieh memaklumkan kepada Ketua Menteri bahawa projek WTP Kogopon bernilai RM365.9 juta itu dijadualkan mula membekalkan air menjelang akhir November.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Panglima Joachim Gunsalam serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali yang juga Ahli Parlimen Papar.
Keseluruhan projek WTP Kogopon dijangka siap sepenuhnya pada 2028, namun Chee berkata loji itu sepatutnya dapat mula membekalkan air bagi memenuhi permintaan di Papar, Putatan hingga ke Kimanis sebelum akhir tahun ini.
Mengenai loji pengambilan air Kabang bernilai RM39.73 juta, Ketua Menteri dimaklumkan bahawa projek itu kini telah mencapai 90 peratus siap dan akan ditauliahkan pada September tahun ini.
Loji pengambilan air baharu itu dijangka meningkatkan kapasiti daripada sembilan MLD kepada 30 MLD. Ia dibina lebih jauh ke hulu Sungai Papar di Kabang bagi mengelakkan masalah kemasinan yang kerap menjejaskan Loji Skim Bekalan Air Kecemasan (EWSS) sedia ada dan pengambilan airnya di Limbahau.-pr/BNN





