KOTA KINABALU: Anak jati Kampung Sandapak, Bingkor, Anne Mercy Victor Jalius, 19, membuktikan kecemerlangan anak pedalaman Sabah apabila dipilih sebagai salah seorang penerima Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah (ABCNS) Siri Ke-37 selepas meraih Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 di Kolej Matrikulasi Labuan.
Beliau menerima pengiktirafan berprestij itu pada Majlis Penyampaian ABCNS Siri Ke-37 yang disempurnakan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, di Sabah International Convention Centre (SICC), pada Khamis.
Anne Mercy yang bercita-cita melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi hadir bersama kedua-dua ibu bapanya, Victor Jalius dan Pauline Yukau Ungkiu Singgon, yang menjadi antara tonggak utama kejayaan akademiknya.
Beliau memulakan pendidikan di Tadika Lok Yuk Keningau sebelum meneruskan persekolahan di SJK (C) Yuk Kong Keningau dan SM Ken Hwa Keningau, seterusnya melanjutkan pengajian ke Kolej Matrikulasi Labuan sehingga berjaya memperoleh PNGK sempurna.
Majlis itu turut menyaksikan 50 pelajar menerima ABCNS, manakala 60 pelajar menerima Anugerah Biasiswa Cemerlang Kerajaan Negeri Sabah (ABCKNS) dan 17 pelajar menerima Anugerah Cemerlang MUIS.
Dalam ucapannya, Hajiji berkata kerajaan negeri terus memperkukuh pembangunan modal insan menerusi peruntukan melebihi RM100 juta bagi Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) tahun ini.
Menurut beliau, peruntukan itu menampung penerima biasiswa sedia ada serta tajaan baharu tahun 2026 yang melibatkan 2,182 pelajar di peringkat diploma, ijazah sarjana muda dan sarjana, dengan penekanan terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Kejayaan Anne Mercy mencerminkan potensi besar anak-anak pedalaman Sabah untuk mencapai kecemerlangan apabila diberikan peluang pendidikan yang berkualiti serta sokongan berterusan daripada keluarga, sekolah dan kerajaan negeri.-pr/BNN





