KOTA KINABALU: Pasukan Windbreeze–Alpha Dance Team sekali lagi mengharumkan nama Malaysia apabila berjaya mencatat kejayaan cemerlang di West Java International Fun Folk Festival 2026 yang berlangsung di Subang, Jawa Barat, Indonesia dari 16 hingga 21 Julai 2026.

Mewakili Malaysia, kontinjen ini berada di bawah naungan Windbreeze Cultural Association dengan kerjasama Alpha Infinity Dance Group (Alpha Sports Academy), membawa misi memperkenalkan keunikan seni, budaya dan warisan Malaysia kepada masyarakat antarabangsa melalui persembahan tarian tradisional dan kreatif.

Delegasi Malaysia diketuai oleh Mohd Hairul Nazmie bin Talib selaku Ketua Pasukan, Jurulatih dan Koreografer, dibantu oleh Yee Wai Kiong sebagai Pembantu Jurulatih serta Yen Suriati Sukarti, wakil daripada Alpha Sports Academy yang turut mengiringi kontinjen Malaysia sepanjang festival.

Barisan penari yang mewakili Malaysia terdiri daripada:
Mohamad Rizqee Aisykurnia Bin Ali (17)
Yeo Jing Yew (16)
Lim Qi Siang (18)
Charlestson Lam Fung (15)
Faiz Affendy (16)
Dylan Yong Hao Kong (13)
Bryan Chin Zi Yang (19)
Muhammad Syazwan Bin Mohd Ramli (29)

Turut bersama ialah dua orang pengiring kontinjen, iaitu Sebah binti Anjal dan J. Hamidah binti Repin.

Sepanjang festival, Pasukan Malaysia telah mempersembahkan tiga persembahan utama yang mendapat sambutan hangat daripada penonton antarabangsa, iaitu:
Rinana Ie Tuow – Tarian Kreatif Murut
Lum Samah – Tarian Kreatif Bajau
Persembahan Perarakan (Cultural Parade)

Kemuncak penyertaan Malaysia adalah apabila Windbreeze–Alpha Dance Team dinobatkan sebagai penerima Anugerah Koreografi Terbaik Keseluruhan (Overall Best Choreography Award), sekali gus mengatasi penyertaan daripada beberapa negara lain termasuk Indonesia, Filipina dan India.

Pengiktirafan berprestij ini membuktikan bahawa kreativiti koreografi, disiplin persembahan serta keunikan warisan budaya Malaysia mampu berdiri sebaris dan bersaing di pentas antarabangsa.

Selain menyertai pertandingan dan persembahan budaya, para peserta turut diberi peluang mengikuti pelbagai aktiviti pertukaran budaya yang dianjurkan oleh pihak penganjur. Antaranya termasuk bengkel pembuatan batik tradisional Indonesia, serta lawatan ke beberapa lokasi pelancongan dan warisan di sekitar Subang dan Bandung, sekali gus mengukuhkan hubungan persahabatan dan persefahaman budaya antara Malaysia dan Indonesia.

Sebagai tanda penghargaan terhadap penyertaan Malaysia, kontinjen Windbreeze–Alpha Dance Team turut diberi penghormatan mengadakan kunjungan hormat serta dijemput menghadiri majlis makan tengah hari bersama Bupati Subang, YAB Reynaldi Putra Andita Budi Raemi, yang berlangsung di Kediaman Rasmi Bupati Subang. Pertemuan tersebut mencerminkan eratnya hubungan budaya dan diplomasi rakyat antara kedua-dua negara melalui seni persembahan.

Dalam satu lagi program berimpak tinggi, Pasukan Malaysia turut dijemput menjayakan Program Silang Budaya Malaysia–Indonesia di SD Muhammadiyah 7, Bandung, Jawa Barat. Kehadiran kontinjen Malaysia telah disambut dengan penuh meriah oleh lebih 1,000 orang pelajar dan warga pendidik, yang berpeluang menyaksikan persembahan budaya Malaysia serta berinteraksi secara langsung dengan para penari.

Program tersebut bukan sahaja memperkenalkan kepelbagaian budaya Malaysia kepada generasi muda Indonesia, malah memperkukuhkan hubungan persahabatan, persefahaman dan semangat serumpun antara kedua-dua negara melalui medium seni dan budaya.

Ketua Pasukan, Mohd Hairul Nazmie Talib, berkata kejayaan ini merupakan hasil komitmen, disiplin dan semangat luar biasa yang ditunjukkan oleh seluruh ahli kontinjen sepanjang persiapan dan penyertaan di festival tersebut.

“Anugerah ini bukan sekadar kemenangan untuk pasukan kami, tetapi merupakan satu penghormatan kepada Malaysia. Kami membawa identiti budaya Sabah dan Malaysia ke pentas antarabangsa, dan pengiktirafan sebagai Koreografi Terbaik Keseluruhan membuktikan bahawa seni budaya negara mempunyai nilai yang tinggi di mata dunia. Kami berharap kejayaan ini menjadi inspirasi kepada lebih ramai generasi muda untuk terus mencintai, memelihara dan mengangkat warisan budaya negara.”

Windbreeze Cultural Association dan Alpha Infinity Dance Group merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan, kepercayaan dan kerjasama sepanjang penyertaan kontinjen Malaysia di West Java International Fun Folk Festival 2026.

Kejayaan ini diharapkan menjadi pemangkin kepada usaha berterusan dalam memperkasakan seni budaya Malaysia di peringkat antarabangsa, di samping memperkukuhkan hubungan diplomasi budaya antara Malaysia dan negara-negara serantau.-pr/BNN