KOTA KINABALU: Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS) menyambut baik langkah kerajaan negeri meningkatkan kuota bekalan beras kepada 35,000 tan metrik bulan ini, sambil menyifatkannya sebagai tindakan pantas dan tepat demi menstabilkan pasaran di Sabah.
Pengerusinya, Datuk Mohd Nazri Abdullah berkata, pengumuman Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Negeri (MAFFI), Datuk Jamawi Jaafar membuktikan kerajaan serius menangani kebimbangan rakyat susulan isu pembelian panik serta gangguan bekalan di beberapa kawasan.
Menurutnya, peningkatan kuota bekalan itu bukan sahaja mampu meredakan keresahan pengguna, malah memberi jaminan bahawa keperluan makanan asas rakyat sentiasa diberi keutamaan.
“Langkah ini amat dialu-alukan kerana beras adalah keperluan utama setiap isi rumah. Apabila bekalan ditambah dan pengedaran diperkemas, rakyat tidak perlu bimbang atau terburu-buru membeli secara berlebihan.
“Dalam keadaan semasa, ketenangan pengguna amat penting supaya pasaran kembali stabil dan bekalan dapat diagihkan secara adil kepada semua kawasan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Hari Raya Aidilfitri di kediamannya di Taman Kingfisher, semalam.
Antara tetamu yang menghadiri Majlis Hari Raya Aidilfitri itu ialah mantan Yang di-Pertua Negeri, Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar Datuk Haji Mahiruddin, mantan Ketua Menteri. Datuk Seri Panglima Salleh Tun SaidSetiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Al-Hambra Tun Juhar, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan, Dr.Daud Yusof, Ahli Parlimen Tenom, Encik Riduan Rubin, Setiausaha Politik Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Ghazali Hajiji, Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Sabah, Encik Farid H Askali Ibrahim, Pengarah, Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Sabah, Haji Fitrisubroto Bin Haji Yahmin, pemimpin peladang serta ketua ketua jabatan negeri dan persekutuan.
Mohd Nazri turut menyokong tindakan kerajaan memperketat audit terhadap pemborong yang disyaki menyorok, melengah-lengahkan pengeluaran stok atau cuba mengambil kesempatan terhadap subsidi kerajaan.
Katanya, sebarang unsur sabotaj atau manipulasi bekalan tidak boleh dikompromi kerana ia memberi kesan langsung kepada kos sara hidup rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan penduduk luar bandar.
“Jika ada pihak sengaja menahan stok untuk menaikkan harga, tindakan tegas mesti diambil. Bekalan makanan bukan isu kecil kerana ia menyentuh kebajikan rakyat dan kestabilan negeri,” katanya.
Beliau pada masa sama menasihatkan rakyat supaya membeli mengikut keperluan, tidak melakukan pembelian panik serta sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat sekiranya terdapat penjualan melebihi harga ditetapkan atau kekurangan bekalan yang mencurigakan.
“Rakyat perlu berbelanja secara berhemah dan elakkan menyebarkan khabar angin yang boleh mencetuskan keresahan. Kerajaan sudah eri jaminan stok mencukupi, jadi pengguna perlu yakin dan bertenang,” katanya.-pr/BNN





