KOTA KINABALU: Naib Ketua Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Datuk Aziah Atoh, menegaskan pihaknya kekal teguh menyokong kepimpinan Ketua Wanita PGRS, Datuk Redonah Bahanda.

Beliau berkata, penyebaran poster dan naratif yang cuba mempertikaikan kepimpinan Redonah perlu dipandang serius kerana berpotensi menjejaskan perpaduan serta kekuatan parti.

Menurutnya, Redonah kekal mendapat mandat dan kepercayaan daripada kepimpinan serta ahli Pergerakan Wanita PGRS di seluruh Sabah.

“Di bawah kepimpinan beliau, Wanita PGRS terus diperkasa untuk bergerak lebih aktif di peringkat akar umbi, khususnya dalam memperluas khidmat kepada rakyat serta memberi perhatian terhadap agenda kebajikan wanita, keluarga dan masyarakat,” katanya dalam kenyataan.

Aziah berkata, pihaknya menolak sekeras-kerasnya sebarang usaha menggunakan isu berbentuk persepsi, propaganda atau naratif tidak berasas untuk melemahkan parti dari dalam.

Katanya, Pergerakan Wanita PGRS akan terus memberi tumpuan kepada kerja di lapangan, turun padang dan mendekati rakyat bagi memastikan agenda serta perjuangan GRS/PGRS terus difahami dan dirasai masyarakat.

Beliau turut menyeru seluruh ahli Wanita PGRS supaya kekal tenang, bersatu dan tidak mudah terpengaruh dengan propaganda atau naratif negatif yang boleh melemahkan semangat serta perpaduan parti.

“Sudah tiba masanya kita mengukuhkan saf, memperteguh perpaduan dan memperluas khidmat kepada rakyat, bukannya meretakkan tembok yang telah kita bina bersama,” katanya.

Aziah menegaskan Pergerakan Wanita PGRS akan terus berdiri teguh bersama kepimpinan parti serta memberi fokus kepada usaha memperkukuh organisasi dan memastikan suara serta khidmat parti terus sampai ke akar umbi.-pr/BNN