KOTA KINABALU: Seramai lima pelajar menerima Biasiswa Anugerah Cemerlang Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah Tahun 2026 dalam majlis yang berlangsung di Istana Sri Kinabalu, hari ini.
Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (JPANS) menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, anugerah berkenaan disampaikan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Musa Aman, kepada penerima yang dipilih berdasarkan kecemerlangan akademik dan merit.
Lima penerima biasiswa itu ialah Aidryn Syinta Aidi, Garry Gelvint Hendry, Ivan Dominic Rainol, Nur Sazrina Nester dan Nixon Liew Yan Chern.
Menurut JPANS, biasiswa berkenaan terbuka kepada pelajar Bumiputera dan bukan Bumiputera yang mencapai keputusan akademik terbaik, selain memberi peluang kepada penerima melanjutkan pengajian di institusi pilihan sama ada di dalam atau luar negara.
Penganugerahan itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkukuh pembangunan modal insan serta melahirkan generasi berilmu dan berdaya saing bagi menyokong kemajuan Sabah pada masa hadapan.
Majlis turut dihadiri Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Datuk Norlijah Danin; Timbalan Setiausaha Tetap (Pembangunan) Kementerian Kewangan Sabah, Datuk Chee Shok Ting; Ketua Pegawai Eksekutif MUIS, Datuk Ramlan Awang Ali serta beberapa pegawai kanan kerajaan negeri.-pr/BNN





