BINGKOR: Perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum, agama serta budaya perlu terus dipertahankan bagi memastikan Sabah kekal aman, stabil dan terus maju.
Mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Robert Tawik, berkata kekuatan Sabah selama ini berakar daripada sikap saling menghormati serta semangat kebersamaan rakyat dalam kepelbagaian.
Beliau berkata, perpaduan tidak seharusnya sekadar ungkapan ketika sambutan rasmi, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui tindakan dan kesediaan setiap rakyat untuk bersama-sama membangunkan negeri.
“Semangat perpaduan menyatukan kita. Dengan perpaduan yang kukuh, kita mampu membina Sabah Maju Jaya dan Malaysia Madani yang lebih gemilang,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah 2026.
Robert berkata, perbezaan yang wujud dalam masyarakat Sabah bukan alasan untuk berpecah, sebaliknya menjadi kekuatan yang menjadikan negeri ini unik dan istimewa.
Katanya, kemajuan sebenar bukan hanya diukur melalui pembangunan fizikal dan pertumbuhan ekonomi, tetapi turut bergantung kepada kekuatan hubungan sesama rakyat sebagai asas kestabilan masyarakat.
Sehubungan itu, beliau bersama keluarga menyeru seluruh rakyat Sabah menjadikan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah sebagai kesempatan memperbaharui azam, menyemarakkan kecintaan kepada negeri dan negara serta terus berganding bahu membina masa depan yang lebih baik.-pr/BNN





