KENINGAU: Penyertaan guru Sekolah Adat Anak Negeri Sabah (SAANS) ADU DABAAI Keningau dalam Perarakan Hari Sabah dan Hari Kebangsaan 2026 menjadi wadah untuk mengangkat adat, budaya dan identiti masyarakat Sabah sebagai warisan yang perlu terus dipelihara.

Lebih daripada sekadar menyertai perarakan, warga pendidik sekolah itu membawa mesej bahawa khazanah budaya negeri tidak harus sekadar menjadi tinggalan sejarah, sebaliknya perlu terus dihayati dan diwariskan kepada generasi baharu.

Pasukan SAANS ADU DABAAI Keningau dari Zon Pedalaman Atas diketuai Pengetua, Nuar Salamat Jaimi, bersama Timbalan Pengetua I, Razali Ujoh dan Timbalan Pengetua II, Mohd Faizal Abdullah, selain pendidik Tawik Angian, George @ Amil Awah dan Jamita Aliakbar.

Penyertaan mereka turut memperlihatkan komitmen untuk memperkukuh pemeliharaan adat dan budaya lebih 40 etnik di Sabah, selain menanam kesedaran dalam kalangan generasi muda mengenai pentingnya mengenali asal usul serta jati diri masing-masing.

Dengan membawa slogan “Untuk Adat, Untuk Identiti, Untuk Sabah, Untuk Dunia”, warga SAANS ADU DABAAI Keningau menegaskan bahawa kepelbagaian adat dan budaya adalah kekuatan yang mencorakkan identiti Sabah serta wajar diketengahkan ke peringkat lebih luas.

Dalam arus pembangunan dan perubahan zaman yang semakin pantas, usaha memelihara warisan dilihat penting bagi memastikan adat dan budaya masyarakat pribumi Sabah terus hidup, dihargai dan tidak terhakis oleh perubahan generasi.

Sehubungan itu, peranan SAANS sebagai wadah pendidikan berteraskan adat dan budaya dilihat signifikan dalam menghubungkan ilmu dengan akar budaya masyarakat, sekali gus memastikan warisan Sabah terus menjadi sebahagian daripada jati diri generasi akan datang.-BNN