KENINGAU: Penempatan pakar perubatan secara tetap di hospital luar bandar Sabah dilihat sebagai langkah penting merapatkan jurang kesihatan antara bandar dan pedalaman, sekali gus memastikan rakyat mendapat rawatan berkualiti tanpa terhalang faktor jarak.
Pengerusi Panel Penasihat Klinik Kesihatan (PPKK) Bingkor, Darian Karim, berkata langkah itu wajar disokong kerana memberi manfaat langsung kepada komuniti luar bandar yang selama ini berdepan kekangan mendapatkan rawatan kepakaran.
Beliau berkata, penempatan pakar secara tetap di hospital seperti Kota Marudu dan Beaufort mencerminkan komitmen kerajaan memperluas akses perkhidmatan kesihatan yang lebih saksama kepada rakyat, khususnya di kawasan pedalaman.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, sebelum ini memaklumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memperluaskan penempatan pakar perubatan ke beberapa hospital di Sabah bagi menangani kekurangan tenaga pakar, selain memperkukuh sistem penggiliran kepakaran ke kawasan luar bandar.
Dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, KKM turut menyasarkan pengurangan jurang kepakaran menerusi pemerkasaan kluster kesihatan, termasuk menyetarakan perkhidmatan hospital di Sandakan dan Tawau dengan Kota Kinabalu, terutama bagi bidang kritikal seperti kardiotorasik.
Darian berkata, kerjasama dengan sektor swasta melalui Hospital Services Outsourcing serta kolaborasi dengan Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) juga boleh membantu meningkatkan kapasiti sistem kesihatan, mengurangkan kesesakan hospital awam dan mempercepatkan rawatan pesakit.
Bagaimanapun, beliau berharap agenda transformasi kesihatan itu turut memberi perhatian kepada kemudahan kesihatan di peringkat akar umbi, termasuk Klinik Kesihatan Bingkor, Klinik Kesihatan Apin-Apin dan klinik kesihatan lain di kawasan pedalaman.
Katanya, pengukuhan klinik luar bandar perlu merangkumi penyediaan infrastruktur, peralatan perubatan mencukupi serta tenaga kerja yang sepadan dengan keperluan semasa kerana pembangunan kesihatan bukan sekadar diukur berdasarkan jumlah bangunan atau teknologi, tetapi sejauh mana rakyat mendapat rawatan terbaik.
“Kesihatan adalah hak asas rakyat. Apabila kepakaran, kemudahan dan tenaga kerja sampai ke kawasan yang sebelum ini berdepan kekangan, ia membawa mesej bahawa tiada komuniti yang dilupakan dalam agenda pembangunan negara,” katanya.-Oleh Paul Ukau/ BNN





