KOTA KINABALU: Keputusan membatalkan sistem Rakan Pelaksana Projek (Project Delivery Partner (PDP)) pada September 2019 ketika pemerintahan Parti Warisan didakwa menjadi punca kepada kemerosotan dan kelewatan pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah, kata Ketua Penerangan (Penaja) Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Kinabatangan, Aksyah Haji Nasrah.
Beliau berkata, angka kemajuan keseluruhan projek sebanyak 11 peratus yang dibangkitkan berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara bertarikh 7 Oktober 2026 perlu difahami mengikut konteks, bukannya terus dijadikan ukuran kegagalan pentadbiran Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
“Angka 11 peratus itu adalah pengiraan kemajuan secara menyeluruh fasa projek, bukannya gambaran prestasi dua tiga tahun kebelakangan ini,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Aksyah berkata, jika mahu menyiasat mengapa angka itu begitu rendah, pihak berkenaan perlu meneliti punca kelewatan projek berkenaan, termasuk keputusan kerajaan terdahulu membatalkan sistem PDP.
Beliau berkata, pembatalan sistem itu menyebabkan struktur perolehan terjejas, rantaian dana Persekutuan terganggu dan penyelarasan teknikal di lapangan menjadi tidak teratur.
“Rakyat Sabah tidak akan lupa bahawa kemerosotan, kekacauan dan kelumpuhan momentum Projek Pan Borneo ini bermula secara rasmi pada September 2019, iaitu di era pemerintahan Parti Warisan. Ketika itu, Kerajaan Negeri dengan angkuh bersetuju untuk membatalkan sistem PDP,” katanya.
Menurutnya, keputusan itu dibuat tanpa pelan gantian yang konkrit, sekali gus menimbulkan pelbagai masalah dalam pelaksanaan projek berkenaan.
Aksyah berkata, tempoh dua tahun pemerintahan Warisan bukanlah singkat, sebaliknya cukup untuk menjejaskan pelaksanaan projek infrastruktur berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, dua tahun pertama selepas Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengambil alih pentadbiran pada 2020 hingga 2022 turut berdepan cabaran besar susulan pandemik COVID-19 yang menjejaskan ekonomi dunia dan rantaian bekalan bahan binaan.
“Seluruh sektor ekonomi dan rantaian bekalan bahan binaan global lumpuh secara total. Ia adalah fasa pemulihan dan merawat ekonomi rakyat, bukannya tempoh yang membolehkan projek fizikal berjalan seperti biasa,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa Lebuhraya Pan Borneo pada asasnya ialah projek Kerajaan Persekutuan, manakala Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah membantu dari segi kawal selia dan penyelarasan pelaksanaan di lapangan.
Katanya, peranan pengawasan JKR Sabah dilaksanakan di sebalik kekangan birokrasi dan isu pampasan tanah yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu.
Sebaliknya, Aksyah berkata, kerajaan pimpinan Hajiji berusaha menyelesaikan kemelut pelaksanaan projek itu, termasuk isu birokrasi perolehan yang berlarutan.
Beliau berkata, antara perkembangan penting ialah pelancaran kesemua baki 19 pakej kerja di bawah Fasa 1B bernilai RM13.989 bilion secara serentak pada Oktober 2024.
“Hari ini, di bawah pengawasan kerajaan sekarang, semua pakej projek yang dahulunya ‘sakit’ telah mula digerakkan semula untuk berjalan di atas landasan yang betul,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan tindakan meletakkan keseluruhan beban kelewatan projek kepada Hajiji dan Kerajaan Negeri ketika ini sebagai tidak adil, sambil menegaskan bahawa punca masalah dan usaha pemulihan perlu dinilai berdasarkan kronologi pelaksanaan projek.
“Ringkasnya, era Warisan adalah “Ibu Masalah” yang melahirkan deretan rantaian masalah Pan Borneo, manakala era Hajiji dan GRS pula muncul sebagai “Penyelesai Masalah Tuntas” yang sedang bertungkus-lumus membina semula masa depan infrastruktur watan,” katanya.-pr/BNN





