KOTA KINABALU: Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) Sabah edisi September 2026 melabuhkan tirainya secara rasmi dengan kejayaan yang membanggakan.
Acara yang berlangsung selama tiga hari dari 18 hingga 20 September lalu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) itu membuktikan minat orang ramai terhadap sektor pelancongan kekal tinggi, sekali gus mengukuhkan peranan MATTA Fair sebagai platform utama yang menghubungkan pengembara dengan agensi pelancongan serta penyedia perkhidmatan berkaitan.
Jualan Cabutan Bertuah Cecah RM3.315 Juta
Berdasarkan laporan Peraduan Pembeli (Buyers’ Contest), pameran berkenaan merekodkan sebanyak 532 penyertaan, dengan 254 daripadanya layak bertanding yang melibatkan seramai 1,414 orang penumpang.
Jumlah perbelanjaan pelancongan yang dicatatkan menerusi peserta peraduan itu mencecah kira-kira RM3.315 juta.
Walau bagaimanapun, angka ini hanya mewakili statistik pengguna yang menyertai peraduan tersebut dan bukannya jumlah keseluruhan jualan yang dijana sepanjang pameran berlangsung.
Penghargaan Kepada Rakan Strategik dan Penaja
Jawatankuasa MATTA Sabah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pengunjung, ejen pelancongan yang mengambil bahagian, pempamer, rakan industri, serta para penaja yang menjayakan pameran ini.
Ucapan terima kasih khusus ditujukan kepada penaja utama iaitu Malaysia Aviation Group (MAG) dan RHB Bank atas kerjasama strategik, keyakinan, serta sokongan padu mereka dalam menjadikan pameran kali ini lebih bermakna buat para pengunjung dan penggiat industri.
MATTA Sabah turut berharap agar sokongan serta kerjasama daripada MAG dan RHB Bank dapat diteruskan bagi pameran-pameran yang dirancang pada tahun 2027.
Selain itu, MATTA Sabah turut mengucapkan penghargaan kepada barisan penaja hadiah termasuk Malaysia Airlines, Borneo Nature Tours Sdn Bhd, Tropical Gateways Tours Sdn. Bhd, Tabin Wildlife Holidays Sdn Bhd, Nurnielamsari Travel Sdn Bhd, Wonderful Semporna Holiday Sdn Bhd, Sea Horse Sipadan Scuba Sdn Bhd, Dynamic Tours Travel & Incentive Sdn Bhd, Across Borneo Tours & Car Rental Sdn. Bhd, Avasi Borneo Tours & Travel (S) Sdn. Bhd., Olumis Standup Paddle, dan AIC Footprints Travel & Tours Sdn Bhd.
Dua MATTA Fair Dirancang Pada 2027
Mengulas mengenai perancangan masa hadapan, MATTA Sabah memaklumkan bahawa dua pameran MATTA Fair dijadualkan berlangsung pada tahun 2027, iaitu:
- April 2027 — Kota Kinabalu (SICC)
- Jun 2027 — Tawau
Penganjuran di dua lokasi ini bertujuan memperluas akses tawaran pelancongan kepada pengguna di seluruh Sabah, menyokong perniagaan pelancongan tempatan, serta mempromosikan kepelbagaian destinasi dan pengalaman menarik yang terdapat di Sabah, Malaysia, dan antarabangsa.
Maklumat lanjut mengenai tarikh dan lokasi rasmi akan diumumkan dalam masa terdekat.
Untuk maklumat lanjut dan kemas kini terkini mengenai MATTA Fair Sabah, orang ramai boleh melayari laman web rasmi www.mattafair.org.my atau mengikuti laman Facebook rasmi @MATTA Sabah dan Instagram @mattafairsabah.-BNN





