TENOM: Murut Kolor Tenom menyatakan sokongan terhadap usaha Kerajaan Negeri Sabah memperkasa dan memartabatkan institusi Mahkamah Anak Negeri (MAN) menerusi kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Anak Negeri 2026 oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Pengerusinya, Sinimpong @ Rohani Ganjau @ Abdullah, berkata pembaharuan berkenaan adalah langkah penting dalam memperkukuh kedudukan Mahkamah Anak Negeri sebagai institusi yang berperanan memelihara, mempertahankan dan menguatkuasakan adat serta budaya masyarakat anak negeri Sabah.
Beliau berkata, bagi masyarakat Murut khususnya, Mahkamah Anak Negeri bukan sekadar institusi perundangan adat, sebaliknya menjadi lambang identiti, maruah, warisan dan jati diri yang diwarisi sejak turun-temurun.
Sehubungan itu, katanya, usaha memperkukuh institusi berkenaan amat penting bagi memastikan adat dan tradisi masyarakat anak negeri terus terpelihara serta dihormati oleh generasi akan datang.
“Pembaharuan ini diharap dapat meningkatkan keberkesanan pentadbiran Mahkamah Anak Negeri, selain memperkukuh peranan Ketua Anak Negeri dan Ketua Kampung dalam memastikan sistem perundangan adat terus mendapat pengiktirafan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut menyeru seluruh masyarakat Murut, khususnya di daerah Tenom, supaya bersama-sama menyokong usaha berkenaan demi kepentingan dan masa depan masyarakat anak negeri Sabah.
Katanya, Mahkamah Anak Negeri adalah warisan, identiti dan amanah bersama yang perlu dipertahankan bagi memastikan kelangsungan adat serta budaya masyarakat anak negeri.
Sinimpong berkata, sokongan masyarakat terhadap usaha berkenaan penting bagi memastikan institusi Mahkamah Anak Negeri terus memainkan peranannya dalam memelihara warisan dan jati diri masyarakat anak negeri Sabah.-pr/BNN





