KOTA KINABALU: Pendirian Ketua Menteri; Datuk Seri Hajiji Noor untuk mengekalkan kerjasama di peringkat negeri melibatkan parti komponen dan sekutu dilihat sebagai satu pendekatan politik yang matang.

Presiden Persatuan Kebajikan Santun Kasih Sabah (PERSANTUN); Datuk Najib Tay Abdullah berkata, ia sekaligus memperlihatkan Hajiji yang juga selaku Pengerusi GRS sebagai berjiwa besar dan mempunyai visi politik tanpa prejudis yang menitikberatkan keseimbangan kuasa di peringkat negeri serta persekutuan.

Jelasnya tidak timbul isu politik kenegerian mahupun nasional dalam perkara ini memandangkan Ketua Menteri secara jelas mahu keseimbangan yang berlaku di peringkat pentadbiran kerajaan negeri menjadi agenda utama dalam persiapan menghadapi PRU16 nanti.

“Seperti mana yang kita tahu, kerajaan perpaduan di Sabah melibatkan pemimpin GRS, BN dan PH selain sekutu lain.

“Dengan saranan kerjasama itu akan diteruskan pada PRU16 nanti, saya melihat itulah Hajiji yang sebenar kerana mengambil kira kepentingan Sabah di peringkat negeri dan nasional.

“Ia juga menunjukkan beliau seorang yang berjiwa besar dalam politik kerana mengetepikan sentimen dinamika politik di Semenanjung dan mahu melihat parti yang membentuk kerajaan Sabah pada hari ini terus bersatu, “katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, Hajiji dalam sebuah majlis di Kota Kinabalu semalam menjelaskan kesediaan pihaknya mengekalkan kerjasama antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Barisan Nasional (BN) dan PH dalam kerajaan negeri bagi memastikan kestabilan politik Sabah.

Beliau berkata, GRS ditubuhkan bagi memenuhi aspirasi rakyat Sabah yang mahukan sebuah kerajaan yang kukuh dan mengutamakan kepentingan negeri.

“Kita mahu stabil. Kalau kita mahu stabil, kita kena bekerjasama dengan apa yang ada dalam kerajaan sekarang. Kerjasama kita dengan PH dan BN ini akan kita teruskan dalam Pilihan Raya Umum dan juga Pilihan Raya Negeri yang akan datang,” jelas Hajiji.-pr/BNN