UMNO Sabah sambut baik pemberian kuasa autonomi

0
AHMAD ZAHID, Hajiji dan kepimpinan UMNO Pusat bergambar bersama pemimpin UMNO Negeri Sabah.

KOTA KINABALU:  UMNO Sabah menyambut baik pemberian kuasa autonomi oleh UMNO Pusat.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, pemberian autonomi itu merupakan satu sejarah kepada UMNO Sabah.

“Ini juga  adalah hasil  perjuangan UMNO Sabah dan ia selaras dengan usaha bagi “penjenama semula” atau “reinvent” UMNO Sabah.

“Melalui pemberian autonomi kepada UMNO Sabah secara langsung akan “melokalkan UMNO Sabah”, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Presiden UMNO,  Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini berkata, UMNO Sabah akan kekal dan diberi kuasa autonomi untuk menentukan dasar-dasar parti di negeri itu tanpa terikat dengan keputusan di peringkat Pusat.

Katanya, satu mesyuarat agung luar biasa akan diadakan kelak untuk memastikan keputusan tersebut dapat dilaksanakan.

“Kita telah bawah ke mesyuarat jawatankuasa yang dibentuk dan hari ini kita terima memorandum daripada UMNO Sabah berhubung autonomi.

“Saya akan cakap dalam Perhimpunan Agung UMNO nanti untuk umumkan sesuatu yang baik kepada Sabah supaya permohonan itu dapat pengesahan Majlis Tertinggi serta kita perlu adakan mesyuarat agung luar biasa dan akan masukkan dalam pindaan Perlembagaan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perjumpaam Tertutup bersama pimpinan UMNO negeri di bangunan UMNO Sabah,hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan ahli-ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Menurut Zahid, memorandum yang diserahkan UMNO Sabah kepadanya dalam perjumpaan itu turut melibatkan hasrat parti untuk menyertai Gabungan Bersatu Sabah (GBS).

Hajiji berkata, autonomi ini penting demi kepentingan survival masa depan UMNO di Semenanjung Malaysia dan UMNO di Sabah.

“Ianya sekaligus bagi mengelak UMNO Sabah daripada terus dimanipulasi sebagai “parti import” atau “parti Malaya” oleh pihak lawan di peringkat negeri” , tegasnya.

Katanya, dengan kuasa autonomi itu juga UMNO Sabah akan menentukan halatuju sendiri, termasuk dalam soal memilih kepimpinan UMNO Sabah dan lain-lain.

Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman berharap rakan-rakan dalam blok pembangkang faham dengan perubahan-perubahan yang berlaku dalam perjuangan UMNO Sabah melalui autonomi yang diberikan.

Katanya dengan kuasa autonomi itu juga, UMNO Sabah akan menentukan teras perjuangan sendiri yang bersesuaian dengan sentimen di Sabah.

“Masyarakat Sabah lebih cenderung dirujuk dengan identiti bangsa masing-masing berbanding perkataan ‘Melayu’. Maka dengan autonomi ini, UMNO Sabah mempunyai asas perjuangan tambahan sendiri yang bersesuaian dengan sentimen di Sabah iaitu perjuangan hak dan kepentingan anak negeri,  bumiputera dan negeri Sabah.-Oleh LSK/BNN