Anjur program sederhana-Japlin

0
Gurahman, Fadilah dan Norlizah bergambar kenangan bersama jawatankuasa Puteri UMNO Kudat.

KOTA BELUD: Pergerakan Puteri UMNO disarankan membuat program secara sederhana dengan tidak melibatkan bajet yang besar.

Naib Ketua UMNO bahagian Kota Belud, Datuk Japlin Akim berkata pendekatan turun padang melalui rumah ke rumah lebih memberi kesan kerana anggota Puteri UMNO berdepan dengan rakyat di akar umbi.

Jelasnya, program yang berimpak perbelanjaan yang besar kurang mendapat perhatian kerana yang hadir hanyalah orang yang sama dan tidak memberi kesan di hati rakyat di bawah.

“Dekati mereka dan rasai permasalahan mereka, jelajah seluruh kawasan tidak kira kawasan kerajaan atau pun kawasan pembangkang.

“Percaya dan yakin kita mampu mengambil hati rakyat. Jangan berputus asa. Kita buat pertama kali dalam sejarah tumbang dan kalah kepada parti lawan. Ini adalah hakikat yang suka atau tidak perlu kita hadam. Berkerja sebagai satu pasukan.

Beliau berkata demikian semasa Jelajah Ukhwah Puteri UMNO Sabah di Kota Belud semalam. Terdahulu, siri jelajah berada di Kudat dan Tuaran.

Sementara itu, Ketua UMNO bahagian Kudat, Datuk Gurahman Lolong meminta anggota Puteri UMNO jangan sandarkan masa depan kepada perjuangan yang tidak ada arah tujuan tetapi teruslah berpegang teguh dan berpaut pada parti UMNO kerana perjuangan kita adalah untuk rakyat,” katanya lagi.

Tambah beliau, ahli-ahli Puteri perlu sedar bahawa UMNO bukan lagi kerajaan tetapi pembangkang dan seharusnya setiap kaedah gerak kerja perlu ditukar dan diubah suai sejajar dengan perkembangan semasa.

Katanya, meskipun dalam aspek membela nasib rakyat, UMNO tidak lagi boleh memberikan bantuan seperti dahulu tetapi UMNO boleh menjadi pemudah cara khususnya dalam aspek maklumat, pengetahuan dan kemahiran dalam sesuatu masalah.

“Cabaran yang besar kita kini ialah membentuk penyatuan yang kukuh dalam UMNO untuk menggembalikan maruah parti itu terutama di mata rakyat,” katanya

Hadir sama Ketua Umno bahagian Kudat Datuk Gurahman Lolong, Naib Ketua Umno Kota Belud, Datuk Japlin Akim yang juga Adun Usukan, Ketua Puteri Umno Sabah Fadilah Sarbi (Sepanggar) Penolong Setiausaha Suzie Hamat (Sipitang), Ketua Penerangan Noorazmahirah Noorzain (Tuaran)  Ketua Puteri Umno Kudat, Norliza Gurahman  dan Ketua Puteri Kota Belud, Fitrianah Arshad serta jawatankuasa Puteri Umno Kudat dan Kota Belud.-pr/BNN