KOTA KINABALU: Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sabah melahirkan simpati terhadap pegawai-pegawai kanan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) yang dianiaya oleh Ketua Pengarah LPP semasa perlembagaan NAFAS digantung.
Pengerusinya Datuk Mohd.Nazri Abdullah berkata, dalam tempoh penggantungan dari 1 Jun 2018 sehingga 14 Januari 2019, KP LPP Haji Hamzah Bahari yang juga pendaftar sepatutnya tidak mempunyai kuasa untuk menggantung tugas atau menukar penempatan pegawai kanan NAFAS.
Katanya ini kerana Hamzah telah secara tidak sah dan tidak munasabah menggantung Perlembagaan NAFAS tanpa alasan-alasan yang sah di sisi undang-undang.
“Ini kerana penggantungan perlembagaan tersebut tidak mengambilkira peruntukan undang-undang sedia ada, terutama seksyen 19 dan 20 Akta Pertubuhan Peladang 1973 (Akta 109).
“Tindakan penggantungan oleh pendaftar/KP LPP bererti NAFAS diharamkan untuk menjalankan apa-apa urusan seperti dinyatakan dibawah seksyen 22 Akta 109. Justeru Jemaah Pengarah NAFAS tidak mempunyai sebarang kuasa terhadap NAFAS”, katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, dalam tempoh penggantungan itu juga KP LPP (Pendaftar) telah dengan salah dan tidak munasabah, tanpa mengendahkan kepentingan NAFAS dan anggota-anggotanya, telah melantik beberapa individu sebagai pentadbir untuk mengurus NAFAS.
Mohd.Nazri berkata, jawatankuasa pentadbir yang dilantik itu adalah tidak mempunyai hak untuk menerajui NAFAS sewaktu tempoh penggantungan, apatah lagi menggantung tugas atau menukar penempatan pegawai-pegawai kanan NAFAS.
Menurutnya, jawatankuasa pentadbir yang dilantik KP LPP itu sepatutnya bertindak sebagai pentadbir sementara (temporary caretaker) bagi NAFAS dan bukannya mengambilalih kuasa Jemaah Pengarah serta menjalankan aktiviti perniagaan dan transaksi.
Justeru katanya, adalah salah dibawah peruntukan undang-undang apabila Jawatankuasa Pentadbir membuat keputusan material dan transaksi yang melibatkan kewangan serta pertukaran pegawai kanan NAFAS.
Mohd Nazri berkata, pegawai kanan NAFAS yang menjadi mangsa aniaya, digantung kerja, diturunkan pangkat atau ditukar penempatan semasa tempoh penggantung perlembagaan NAFAS boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap KP LPP (Pendaftar) dan Jawatankuasa Pentadbir yang dilantik kerana menafikan hak mereka.
Difahamkan pegawai kanan NAFAS yang menjadi mangsa salah guna kuasa KP LPP dan Pentadbir yang dilantik termasuklah Pengurus Besar (GM), Timbalan-Timbalan GM, Pengurus-Pengurus Kanan dan juga pengurus-pengurus bahagian organisasi itu.
Katanya, sebagai Pentadbir Sementara (temporary caretaker) seharusnya fungsi operasi dan pengurusan NAFAS berjalan seperti biasa.
“Tetapi pentadbir sementara ini yang berperanan menggantikan fungsi AJP dengan kuasa-kuasa yang terhad dilihat turut mencampuri fungsi pengurusan NAFAS.
“Adakah dibolehkan pentadbir ini mencampur adukkan fungsinya sebagai pentadbir dan pengurusan dalam satu masa sehingga sewenang-wenangnya menjalankan perstrukturan semula organisasi pengurusan dan kakitangan”, katanya.
Menurut Mohd.Nazri, adalah menjadi sangat dangkal apabila kuasa melibatkan pengurusan dan pembuat dasar dipusatkan kepada satu pihak sahaja iaitu pentadbir yang kesannya menjadi konflik berkepentingan atas setiap keputusan yang dibuat oleh pentadbir pada masa itu.
“Justeru, tiada keadilan kepada kakitangan yang dianiaya untuk dihakimi mengikut lunas undang- undang yang adil apabila hanya satu pihak yang berkuasa (pentadbir) menjalankan kuasanya sesuka hati tanpa ada proses semak dan imbang daripada pihak yang tidak berkepentingan dalam menghukum kakitangan NAFAS supaya ianya mengikut peraturan di NAFAS (skim perkhidmatan) sendiri dan juga peraturan standard industri.
“Kesan kepada tindakan semberono oleh pihak LPP dan pendaftar ini dalam menangani masalah NAFAS dengan cara menggantung dan menghukum kakitangan secara tidak adil, tanpa melalui proses yang berlandaskan undang-undang dilihat memberi kesan buruk dan merugikan terhadap perjalanan perniagaan NAFAS apabila banyak urusan tidak dapat dijalankan dengan cekap setelah ramai pegawai kanan yang berkemahiran tidak dapat menyumbang tenaga mahir mereka bersama-sama dalam memajukan NAFAS”, tegasnya.
Beliau berkata, tindakan dari pihak LPP ini lebih kepada sifat iri hati terhadap kemajuan NAFAS dan kedudukan pegawai-pegawai di NAFAS apabila pada pandangan pihak LPP hanya pegawai-pegawai mereka sahaja yang berkelayakan untuk mengisi posisi-posisi jawatan utama di NAFAS.
Katanya, perkara ini dapat dilihat dengan jelas apabila hukuman yang dijatuhkan kepada pegawai-pegawai NAFAS yang dilakukan oleh pentadbir (LPP) tidak berkesudahan disitu, apabila pihak LPP turut melaporkan nama-nama pegawai yang dituduh kononya bersalah dan telah dijatuhkan hukuman oleh mereka kepada pihak berkuasa seperti polis.
“Tindakan ini seolah-olah mahu membunuh karier pegawai-pegawai NAFAS bagi membolehkan penempatan pegawai dari LPP dilakukan”, jelasnya.
NAFAS merupakan sebuah organisasi yang sahamnya dimilik oleh 14 buah Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) di negara ini.
PPN pula dimiliki oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan ahli-ahli perseorangan di unit-unit peladang di kampung-kampung di kawasan luar bandar.
NAFAS bergerak sendiri dengan menggunakan duit pemegang Saham. NAFAS bukan agensi kerajaan,ia adalah sebuah entiti sendiri yang didaftarkan dibawah Akta 109, 1973 dimana Ketua Pengarah (KP) Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) bertindak sebagai pendaftar. Sementara LPP bergerak dibawah Akta 110.
NAFAS dan LPP adalah dua organisasi yang berbeza dan NAFAS tidak bertuankan LPP kerana LPP hanya sebagai pendaftar dan bukan pemegang saham.-pr/BNN