KOTA BELUD: Kerajaan negeri akan terus komited membantu memulihara warisan etnik dan budaya semua kaum di negeri ini melalui sokongan pelbagai program termasuk Karnival Bahasa Kadazandusun.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick berkata, ini penting agar warisan budaya setiap suku kaum di negeri ini tidak hilang ditelan zaman.
Sehubungan itu, katanya karnival seumpama ini memberi impak besar untuk menerapkan budaya cintakan bahasa ibunda di kalangan murid sekolah seterusnya memartabatkan warisan etnik dan budaya.
“Saya melihat karnival ini adalah ruang kerajaan melalui pemimpin masyarakat Kadazandusun menyalurkan bantuan dan memberikan sokongan berkaitan.
“Kita sering kali menyatakan keresahan bahawa generasi muda kita semakin melupakan bahasa ibunda bukan sahaja Bahasa Kadazandusun tetapi juga bahasa-bahasa ibunda dari suku kaum lain.
“Oleh itu saya melihat melalui pembelajaran dan pengajaran bahasa Kadazandusun di sekolah rendah dan menengah serta pengajuran program seumpama ini, kita dapat memupuk pembudayaan penggunaan bahasa ibunda tanpa mengabaikan bahasa-bahasa antara bangsa yang lain termasuk Inggeris, Mandrin, Arab dan Jepun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival Bahasa Kadazandusun Peringkat Negeri Sabah, di Dewan Sekolah SMK Pekan II, Kota Belud, di sini, pada Jumaat (kelmarin).
Karnival itu adalah anjuran bersama Majlis Guru-Guru Bahasa Kadazandusun (MGGBKKB) Kota Belud dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Kota Belud diadakan selama dua hari bermula 2 Mei.
Antara pengisian karnival tersebut ialah pertandingan menulis esei, sajak (sisindiron), bercerita (manangon), menyanyi (sugandoi), persembahan gong serta pakaian tradisi terbaik dengan kelancaran berbahasa ibunda Kadazan dusun (Kolumison basaan om Kotorompuson Moboros).
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berharap, Karnival Bahasa Kadazandusun dapat diteruskan pada masa akan datang dalam skala yang lebih besar.
“Karnival ini merupakan acara tahunan di Kota Belud selama ini dan saya berbangga kerana ianya kini dianjurkan di peringkat negeri melibatkan penyertaan beberapa daerah lain.
“Saya konsisten menyokong karnival ini sejak tahun 2014 dan berharap ia dapat memperkasakan penguasaan dan pembudayaan bahasa ibunda selain penguasaan bahasa kebangsaan dan antarabangsa di kalangan para pelajar,” katanya.
Sementara aitu Pegawai Meja Bahasa Kadazandusun, Sektor Pengurusan Akademik, JPN Sabah Sitiamah Sahat berkata Karnival Bahasa Kadazandusun kali ke-9 akan dijadikan program Tahunan Peringkat Negeri dengan penyertaan lebih banyak sekolah.
“Memandangkan Kota Belud adalah pertembungan dua budaya iaitu Bajau dan Kadazandusun maka tempat ini amat sesuai dijadikan lokasi untuk melaksanakan karnival ini.
“Saya berharap program seumpama ini dapat mengeratkan lagi perpaduan di kalangan penduduk pelbagai kaum,” katanya.
Sitiamah berkata, pada tahun ini lima daerah menyertai karnival ini iaitu Ranau, Kota Belud, Tuaran, Kota KInabalu, Beaufort dan Papar.
“Pada tahun depan, kita menjangkakan semua sekolah dari 19 daerah yang menawarkan bahasa Kadazandusun akan menyertai karnival ini,” katanya.
Turut hadir Penolong Pegawai Daerah Kota Belud Peter Jition, Pegawai Pendidikan Daerah Kota Belud Cathrine Benjamin, Pengetua Cemerlang SMK Pekan II Liasin Kaloh, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Kadamaian Saikom Watis dan Setiausaha Perhubungan KPLB Sabah merangkap Timbalan Pengerusi KDCA Kota Belud Charles Dalinsing.-pr/BNN