Jangan sorok anak OKU-Mizma

0
Melawat kanak-kanak OKU.
 LAHAD DATU: Ibu bapa yang mempunyai anak golongan orang kelainan upaya (OKU) disaran agar memberikan pendidikan sewajarnya kepada anak-anak mereka tanpa menyembunyikan bakat golongan berkenaan.

Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat Rumah Sinar Pelangi, Mizma Appehdullah berkata setiap ibu bapa berperanan mengenali potensi anak mereka lebih-lebih lagi golongan OKU bagi memastikan mereka dapat menikmati kehidupan seperti golongan normal yang lain.

“Ibu bapa jangan malu dan berasa rendah diri untuk nyatakan mereka mempunyai anak OKU kerana kadang-kadang golongan ini lebih hebat daripada kita golongan biasa.

“Kemungkinan juga anak ini lebih hebat anugerah dia dari tuhan tapi kita tidak pernah mencuba untuk mencungkil bakat mereka kerana tidak tahu di mana tempat sepatutnya mereka dihantar lebih-lebih lagi selepas tamat persekolahan,” katanya

Beliau berkata demikian ketika semasa Majlis Berbuka Puasa dan penyampaian sumbangan kepada penghuni keluarga oku dan meraikan ulang tahun kelahiran penghuni di Rumah Sinar Pelangi, Lahad Datu semalam.

Turut hadir sama Pengetua Rumah Sinar Pelangi, Sharil Sari dan penghuni rumah serta ibu bapa yang mempunyai anak-anak oku. Rumah Sinar Pelangi baru diwujudkan dua tahun lalu dan mempunyai 4 orang penghuni oku.

Menurutnya keluarga atau ibu bapa yang mempunyai anak-anak OKU diminta tidak berasa malu atau segan untuk mendaftar golongan istimewa tersebut dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah.

Anak-anak OKU memerlukan perhatian sewajarnya termasuk soal pendidikan dan perkara itu merupakan tugas JKM yang selama ini diwujudkan untuk membela nasib golongan tersebut.

“Adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk tidak berasa segan mendaftar anak-anak OKU dengan JKM. Mereka perlukan bimbingan dan pendidikan. Ada bentuk pendidikan yang khusus untuk mereka sama ada di sekolah harian biasa mahupun di Pusat Dalam Komuniti (PDK) dan jangan sampai ada yang tercicir daripada pelajaran,” katanya.

Mizma yang juga Pengerusi Rakan Kembar Malaysia cawangan Sabah turut meminta masyarakat setempat supaya tidak menyisihkan golongaan kurang upaya daripada mendapat pendidikan

Jelasnya Kerajaan sentiasa komited bagi memastikan orang kurang upaya (OKU) mendapat kesaksamaan hak dan peluang seperti mana anggota masyarakat lain dalam semua aspek kehidupan.

“Pelbagai inisiatif dilaksanakan dalam pembangunan komuniti OKU agar golongan berkenaan boleh berdikari.

“Kerajaan sentiasa menggalakkan individu atau badan yang boleh membantu dan menyumbang sesuatu yang berharga kepada golongan istimewa ini demi menyerlahkan lagi potensi diri mereka yang sedia ada, seterusnya mereka mampu mencapai integrasi sosial serta berkebolehan berdikari untuk masa depan mereka,” tambahnya.

Tambah beliau paling utama keinginan anak-anak itu untuk terus belajar perlu ada dan sokonglah mereka (orang kurang upaya). Anak-anak tentunya mengharapkan sokongan daripada ibu bapa, bagaimanapun semangat anak-anak itu boleh tenggelam jika ibu bapa tidak memberikan sokongan kepada mereka. Hanya melalui pendidikan akan berupaya mengubah nasib seseorang dan sesebuah keluarga.

Beliau berkata, kerajaan juga sentiasa berusaha menyediakan kemudahan pendidikan dan mahu memastikan semua rakyat dapat menikmati pendidikan yang sempurna dan sewajarnya ibu bapa meletakkan pendidikan sebagai agenda paling utama.

Katanya, kemudahan yang disediakan itu sudah tentu tidak bermakna jika ibu bapa bersikap tidak acuh dan tidak meletakkan pendidikan sebagai agenda utama. Kerajaan banyak menyedia peluang-peluang pendidikan kepada kanak-kanak istimewa seperti orang kurang upaya.-pr/BNN