Ewon Teruskan Kerjasama Dengan Guru-Guru Besar Tangani Keperluan Pendidikan

0
Ewon menerima cenderakenangan daripada Rosminah, turut kelihatan ahli-ahli jawatankuasa MGGBKB.

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick komited untuk terus bekerjasama dengan guru-guru besar dan pihak sekolah khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata kerjasama mantap daripada pemimpin dan pihak pentadbir sekolah amat penting bagi memastikan masalah yang dihadapi sekolah-sekolah kawasan itu dapat diatasi.

“Oleh itu saya berharap keperluan pembangunan pendidikan di kawasan DUN Kadamajan turut dicakupi dalam Kajian Pelan Pembangunan Kadamaian 2020-2035 yang sedang dilaksanakan oleh Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah.

“Saya maklum keperluan pembangunan sekolah di kawasan DUN Kadamaian dan sentiasa berusaha mencari jalan bagaimana menyelesaiakan sebahagian daripada keperluan tersebut.

“Pada masa yang sama, saya percaya Kementerian Pelajaran Malaysia juga terus melipatgandakan usaha menyediakan pelbagai keperluan pembangunan sekolah di luar bandar Sabah,” katanya ketika menerima kunjungan hormat daripada Majlis Guru-Guru Besar Kota Belud (MGGBKB) yang diketuai oleh Pengerusinya, Rosminah Suhaibul., di pejabatnya, di sini, kelmarin (Isnin).

Dalam kunjungan itu, Ewon turut menyatakan keprihatinannya mengenai beberapa isu termasuk kelewatan projek bangunan sekolah secara Intgrated Building System (IBS), kebajikan pekerja-pekerja syarikat penyelenggaraan dan kawalan keselamatan di sekolah-sekolah.

“Ramai yang menyampaikan aduan tidak mendapat bayaran gaji beberapa bulan. Oleh itu saya menyuarakan permasalahan ini dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Negeri yang turut dihadiri oleh Pengarah Jabatan Pelajaran Sabah.

“Saya berharap guru-guru besar juga memainkan peranan menjaga kebajikan mereka dan memastikan syarikat dilantik melaksanakan tugas dengan penuh integriti dan bertanggungjawab. Kita tidak mahu masalah pekerja seumpama itu berulang,” katanya.

Ewon berkata, beliau akan terus bekerjasama dengan pihak sekolah, terutamanya dengan guru-guru besar bagi memastikan keperluan infra dan pembangunan pendidikan khusus untuk sekolah DUN Kadamaian mencukupi.

“Saya sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa kejayaan dalam bidang pendidikan merupakan satu kunci utama bagi mencapai lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

“Pada tahun lepas, saya menggunakan sebahagian peruntukan ADUN untuk membiayai beberapa keperluan infra termasuk pembekalan kelengkapan seperti komputer PC, projektor, speaker dan kerusi di beberapa sekolah di Kadamaian.

“Pada tahun ini, saya meneruskan pendekatan ini termasuk membina dewan terbuka, jalan konkrit dan laluan jambatan gantung ke beberapa sekolah. Manakala sebahagian peruntukan khas touchpoints saya gunakan untuk membiayai sebahagian keperluan program-program dan aktiviti-aktiviti sekolah,” katanya.

Sementara itu, Rosminah merakamkan penghargaan atas sumbangan konsisten Ewon kepada program-program sekolah sejak sebelum menjadi Wakil Rakyat seperti penganjuran Karnival Bahasa Kadazandusun Peringkat Daerah, Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Peringkat Zon Selatan dan pelbagai jenis program lain.

“Walaupun pada dasarnya, kami maklum fokus utama beliau adalah di kawasan DUN Kadamaian, tetapi kami bertuah kerana melalui MGGBKB, beliau telah menyalurkan sumbangan besar termasuk penganjurkan Majlis Sukan Sekolah Peringkat Daerah Kota Belud yang disalurkan melalui MGGB, tidak termasuk sumbangan tambahan beliau untuk pelbagai aktiviti lain yang kami akan adakan sepanjang tahun ini,” kata Rosminah.

Dalam kunjungan itu, Ewon menyampaikan sumbangan touchpoints sebanyak RM20,000 kepada MGGBKB untuk membiayai aktiviti-aktiviti termasuk Sambutan Hari Guru.-pr/BNN