KOTA KINABALU: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) Dato Salahuddin Ayub telah melantik 2 orang Ahli Jemaah Pengarah (AJP) Pertubuhan Peladang Kawasan (PKK) di Sabah menyandang jawatan Pegawai Pembangunan Peladang Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) untuk negeri Sabah.
Ahli Jemaah Pengarah (AJP) Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sabah, Haji Abdul Rahim Oting berkata, selain AJP PPK Tuaran, Encik Abu Huzaifah Kamal, seorang lagi AJP PPK Putatan, Encik Addy Samsudin dari Tawau telah dilantik ke jawatah itu.
Katanya, Menteri MOA telah menggunakan kuasanya melantik kedua-dua individu tersebut sebagai AJP PPK terlebih dahulu, dan kemudian sebagai Pegawai Pembangunan Peladang Nafas di Sabah.
” Saya difahamkan kedua-dua individu ini adalah ahli Parti Amanah dan dibayar gaji beribu ringgit setiap bulan untuk jawatan lantikan politik itu sedangkan Nafas telah mempunyai pegawainya di Sabah.
“Justeru, saya ingin bertanya kepada Menteri MOA apa justifikasi beliau melantik kedua-dua individu tersebut mengisi jawatan Pegawai Pembangunan Peladang di Sabah, sedangkan Nafas adalah milik ahli peladang dan PPN dan MOA tidak memiliki apa-apa saham dalam Nafas.
“Tindakan Menteri MOA membuat lantikan itu di Sabah dan mungkin juga turut berlaku di negeri-negeri lain di negara ini, jelas akan menambah kos dan perbelanjaan Nafas”, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, PPK Lahad Datu meminta Menteri MOA memberi penjelasan berhubungan perlantikan seorang ahli Parti Amanah yang juga AJP PPK Tuaran sebagai Pegawai Pembangunan Peladang Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) untuk negeri Sabah.
Pengerusinya, Haji Abd Rahman Kasim berkata, Encik Abu Huzaifah Kamal yang berasal dari Tuaran telah dilantik sebagai AJP pada Julai 2019 oleh Menteri MOA, berkuatkuasa mulai tahun 2019 sehingga Mesyuarat Agung Tahunan yang berikutnya.
Katanya, tidak lama kemudian Abu Huzaifah dilantik pula sebagai Pegawai Pembangunan Peladang Nafas untuk negeri Sabah.
“Menteri MOA telah menggunakan kuasanya memberi dua lantikan (jawatan) kepada Abu Huzaifah. Beliau kini bukan sahaja sebagai AJP PPK, pada masa yang sama juga sebagai Pegawai Pembangunan Peladang Nafas”.
“Kini jelas tindakan Menteri MOA membuat lantikan sedemikian di PPK dan Nafas adalah untuk memberi jawatan kepada ahli-ahli Parti Amanah dan bagi menjaya kepentingan politiknya”, tegasnya.-pr/BNN