KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLB) akan memperkenalkan 2 program baharu tahun hadapan bagi membantu penduduk luar bandar Sabah yang belum mempunyai kemudahan tenaga eletrik dan bekalan air.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata program itu ialah Program Bekalan Air Luar Bandar Alternatif (BALBA) dan Bekalan Eletrik Luar Bandar Alternatif (BELBA).
Katanya, BALBA merupakan program pembekalan air dengan kaedah alternatif yang terawat (sistem paip air graviti dan telaga tiub) di kawasan terpencil yang jauh daripada capaian sistem retikulasi Jabatan Air Negeri Sabah.
Manakala BELB pula katanya, adalah program penjanaan bekalan eletrik melalui pembinaan mikro hidro dengan kos lebih murah di kawasan terpencil yang tidak dicakupi oleh Program BELB biayaan Kerajaan Persekutuan dan jauh dari sistem grid SESB.
“Kerajaan Negeri sememangnya sangat prihatin terhadap kesulitan hidup penduduk kampung di kawasan pedalaman yang belum lagi mempunyai kemudahan tenaga eletrik dan bekalan air.
“Sebanyak RM4 juta akan diperuntukan untuk melaksanakan inisiatif baharu ini, termasuk di dalam Projek Pembangunan Kecil.
“Manakala sebanyak RM6 juta diperuntukkan untuk pelbagai projek kecil infrastruktur asas luar bandar”, katanya semasa menggulung Belanjawan Negeri Sabah Tahun 2020 bagi kementeriannya di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Ewon berkata, kementeriannya akan meneruskan inisiatif program baharu yang telah dimulakan pada tahun ini, iaitu Program Rumah Sejahtera Rakyat (RSR).
Menurutnya, program itu melibatkan peruntukan sebanyak RM4.8 juta pada tahun 2020, dengan memberi lebih tumpuan kepada kampung mundur terutamanya yang dimasukkan dalam Program Kampung Sejahtera dan Ladang Mini Estet Sejahtera (MESEJ) yang sedia ada, dengan sasaran pembinaan 80 buah rumah.
“Usaha juga akan diteruskan untuk membangun dan memajukan perkampungan mundur melalui pelaksanaan Program Kampung Sejahtera.
“Kementerian mensasarkan sebanyak 10 buah kampung untuk dimasukkan dalam program itu, tahun hadapan”, tegasnya.
Ewon berkata, bagi meningkatkan taraf hidup penduduk dan pembangunan di kawasan luar bandar Sabah, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM124.35 juta kepada KPLB untuk tujuan perbelanjaan mengurus dan peruntukan pembangunan bagi tahun 2020.
Katanya, peruntukan itu akan digunakan untuk melaksanakan program-program sedia ada dibawah KPLB iaitu Projek Pembangunan Kecil, Program Ameniti dan Ekonomi Desa, Program Satu Daerah Satu Produk, Program Pembangunan Usahawan Desa, Peruntukan Khas ADUN-ADUN dan Program Pembasmian Kemiskinan.
Beliau berkata, daripada jumlah keseluruhan tersebut sebanyak RM15.45 juta akan digunakan untuk membiayai pelaksanaan Program Ameniti dan Ekonomi Desa, Projek Pembangunan Kecil, Program Satu Daerah Satu Produk dan Pembangunan Usahawan Desa.
Ewon berkata, KPLB juga mengendalikan Peruntukan Khas ADUN dengan sebanyak RM78.22 juta diperuntukkan bagi tahun 2020, bagi pelaksanaan projek-projek kecil luar bandar dan memberi bantuan dalam aspek kebajikan kepada rakyat yang diwakili di peringkat akar umbi.
“Setiap ADUN akan mendapat sebanyak RM1.1 juta Peruntukan Khas ADUN, mencakupi pelaksanaan projek-projek kecil dan Program Sentuhan Kasih”, tambahnya.
Bagi Program Pembasmian Kemiskinan, Ewon berkata kementeriannya menerima peruntukan awal sebanyak RM16 juta.-Oleh LIAW SIN KUANG