KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) dijangka membuat pengumuman rasmi berhubung penyertaan parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis sebelum hari penamaan calon pada 4 Januari depan.
Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, menjelaskan parti itu masih dalam proses mendapatkan maklum balas akar umbi sama ada perlu bertanding atau sebaliknya.
Namun, beliau menyuarakan keyakinan bahawa parti itu akan mendapat sokongan besar daripada akar umbi di Kimanis.
“Kami masih mendapatkan maklum balas daripada akar umbi sama ada untuk bertanding atau tidak.
“Jika kita memutuskan untuk tidak bertanding, PBS akan menyokong mana-mana parti politik yang berjuang melindungi hak negara sebagaimana termaktub bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan akan memastikan keselamatan Sabah serta mempertahankan negeri ini daripada dibanjiri pendatang asing tanpa izin,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Ongkili berkata, berdasarkan maklum balas awal daripada akar umbi, ramai yang menyatakan kebimbangan terhadap pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS) dijangkakan tahun depan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kesemua 60 cawangan PBS di Kimanis sudah diaktifkan dan mula membuat persiapan rapi jentera untuk menghadapi PRK itu.
“Semua pemimpin kanan parti juga akan turun padang untuk melawat cawangan ini dan mengadakan mesyuarat agung tahunan masing-masing bermula 1 Januari depan,” katanya.
PRK Parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 1 Disember lalu mengekalkan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya yang membatalkan kemenangan Datuk Seri Anifah Aman pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan 18 Januari depan sebagai hari mengundi, manakala pengundian awal pada 14 Januari.
Sementara itu, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee, pula mengesahkan partinya tidak akan meletakkan calon untuk bertanding pada PRK berkenaan.
Bekas Ketua Menteri Sabah itu juga enggan mengulas lanjut apabila ditanya sama ada SAPP akan menyokong calon UMNO untuk menentang Parti Warisan Sabah (WARISAN).-pr/BNN