KOTA KINABALU: Armada BERSATU Sabah menyambut baik keputusan Kerajaan Negeri membatalkan pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS).
Ketuanya, Mohd Isquzawan Israq Datuk Seri Arsit berkata, keputusan pembatalan pelaksanaan PSS amat dialu-alukan oleh rakyat negeri ini.
Beliau berkata, PSS yang mendapat bantahan umum turut menjadi antara faktor menyebabkan kekalahan calon Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, baru-baru ini.
“Ini membuktikan bahawa Kerajaan Negeri mendengar bantahan dan suara rakyat yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan PSS”, katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd.Shafie Apdal bahawa PSS yang menimbulkan pelbagai reaksi daripada pemimpin politik dan rakyat keseluruhannya tidak akan dilaksanakan.
Menurut Shafie, keputusan pembatalan tersebut dibuat dalam mesyuarat Kabinet Kerajaan Sabah hari ini (Rabu).
Katanya, keputusan tersebut akan dimaklumkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam tempoh terdekat.
“Keputusan itu dibuat selepas melihat reaksi rakyat yang menolak PSS dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis”, katanya.
Isquzawan berkata, keputusan kerajaan itu adalah selaras seruan dan gesaan BERSATU Sabah selama ini yang mahu Kerajaan mengkaji semula pelaksanaan PSS.
Katanya, Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dan beliau sendiri telah menggesa Kerajaan Negeri agar mengkaji semula cadangan pemberian PSS.
Hajiji semasa membahas Belanjawan Negeri Sabah tahun 2020 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah tahun lalu berkata,”Ini disebabkan rakyat negeri ini merasa bimbang dengan pelaksanaan dasar berkenaan. Bagi rakyat dasar itu seolah-olah menggalakkan kemasukan rakyat asing ke negeri Sabah”.
“Kita mesti mempunyai satu dasar yang tegas supaya kemasukan rakyat asing ini dapat dibendung dan mereka merasa takut untuk datang dan masuk ke negeri kita secara haram”.
“Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan mesti mendengar pendapat rakyat dalam perkara ini, apa yang rakyat mahu ialah mereka yang masuk secara haram mesti dihantar pulang ke negara asal mereka, jika sekiranya mereka ingin berkerja di negeri kita ini, mereka mesti mempunyai dokumen yang sah yang diproses atau dikeluarkan oleh negara mereka.
“Tetapi dasar pemberian PSS ini, seolah-olah menggalakkan rakyat asing masuk secara haram ke negeri kita yang tercinta ini. Saya boleh katakan bahawa dasar ini amat membimbangkan rakyat negeri kita”, kata Hajiji.
Sementara itu, Isquzawan juga mengalu-alukan jaminan Shafie yang juga Presiden Warisan bahawa kerajaan akan terus menyalurkan bantuan kepada rakyat Kimanis.
Katanya, jaminan Shafie amat dialu-alukan oleh rakyat Kimanis, terutama perkara yang dijanjikan semasa PRK Kimanis perlu ditunaikan.-pr/BNN