KOTA KINABALU: Arahan Kerajaan Negeri agar permit F2B baharu tidak lagi dikeluarkan dan permit yang telah diluluskan terdahulu dibatalkan, merupakan satu penindasan kepada masyarakat KDM (KadazanDusun Murut) di Pedalaman Sabah, kata Ketua Cabang
Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pensiangan, Encik Raymond Bin Ahuar.
Katanya, Kerajaan sepatutnya mengharamkan Borang Permit 1 iaitu pembalakan yang dibuat dalam skala besar yang membalak dengan meluas.
“Sepatutnya jangan ada lagi lesen/permit pembalakan besar seumpama ini dikeluarkan dan bukan mengharamkan Permit F2B”.
“Kami memandang perkara ini sebagai satu penindasan kepada masyarakat KDM di Pedalaman Sabah”, katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas surat pekeliling JPHTN/KKH 100-4/1/JILID.11/24 yang dikeluarkan oleh Ketua Konservator Hutan (CF.05/2020) mengenai pembekuan Borang Permit 2B.
Raymond berkata, dalam pekeliling tersebut dengan jelas menyatakan selaras dengan arahan Setiausaha Kerajaan Sabah yang diterima pada 12 Februari 2020, semua permit F2B tidak lagi dikeluarkan manakala permit F2B yang telah diluluskan terdahulu adalah dibatalkan.
Raymond berkata, F2B adalah untuk pemilik geran individu bagi menebang balak di tanah mereka untuk diusahakan.
“Bagaimana penduduk kampung hendak mengusahakan tanah mereka jika terdapat kayu balak? Adakah perlu menunggu syarikat kroni yang melakukan pembalakan sekali dalam skala besar?”, tegasnya.
Beliau berkata, tindakan kerajaan itu seolah menafikan hak individu-individu untuk melakukan pembalakan di atas tanah mereka sendiri untuk diusahakan.
“Dan seolah kerajaan hanya memberi ruang dan menguntungkan syarikat-syarikat pembalakan besar”, tambahnya.
Raymond merupakan Ketua Angkatan Muda Keadilan Sabah dan Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) Sabah serta Naib Ketua Pemuda PH pusat.
Khamis lalu Raymond memaklumkan beliau telah dipecat daripada jawatan Setiausaha Politik kepada Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew.
Dalam satu kenyataan beliau berkata, dia telah dihubungi untuk hadir berjumpa dengan Christina di pejabat beliau yang kemudian memaklumkan pemecatannya benar.
“Isu pemecatan saya dibawa ke Mesyuarat Kabinet negeri Sabah dan diusulkan sendiri oleh Ketua Menteri Sabah serta mendapat sokongan majoriti anggota kabinet.
“Christina juga memaklumkan beliau akan meminta Setiausaha Kerajaan Negeri untuk mengeluarkan notis pemecatan secepat mungkin,” kata Raymond.-pr/BNN