RANAU (SABAH): Ahli-ahli peladang menyambut baik penamatan perkhidmatan Datuk Mazlan Alimat sebagai Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) berkuatkuasa hari ini (1 April 2020).

Datuk Haji Mazlan Aliman

Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Ranau, Datuk Jaimin Samitah berkata, ahli-ahli peladang mengucapkan terima kasih kepada Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MOA), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee dengan keputusan penamatan itu.

Katanya, penamatan perkhidmatan Mazlan yang juga seorang pemimpin parti pembangkang iaitu Parti Amanah Negara (Amanah) sangat wajar.

Beliau berkata, ahli-ahli peladang seluruh negara amat maklum dan terkesan kerana Mazlan merupakan pengerusi yang paling banyak menyusahkan Pertubuhan Peladang (PP).

Menurutnya, Mazlan bersama bekas Menteri MOA, Datuk Salahuddin Ayub telah menggantung perlembagaan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) pada pertengahan tahun 2018 sehingga menyebabkan institusi itu mengalami kerugian teruk.

Pada tahun 2019, Mazlan bersama Salahuddin juga telah mengusahakan pewartaan Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2019 yang mendapat bantahan oleh PP seluruh negara.

Pindaan itu mendapat bantahan keras PP berikutan komposisi Ahli Jemaah Pengarah (AJP) pertubuhan itu yang dianggap campur tangan politik.

Pindaan yang berkuat kuasa 1 Mei 2019 itu, telah mencabul hak ahli-ahli pertubuhan dan ‘merampas’ kuasa mereka untuk melantik AJP di tiga peringkat untuk mewakili suara golongan berkenaan.

“Jesteru ahli-ahli peladang merayu kepada Menteri MOA supaya menarik balik pewartaan tersebut yang menyusahkan ahli-ahli pemegang saham dalam PP (Persatuan Peladang)”, katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, tindakan Mazlan dan Salahuddin mewartakan Peraturan PP (Pindaan) 2019 turut menyebabkan isu itu dibawa dan dibahas dengan panas di Persidangan Parlimen.

Jaimin berharap, penamat perkhidmatan itu bukan sahaja melibatkan Pengerusi LPP semata-mata, tetapi termasuk Ahli Lembaga Pengarah LPP seperti Harris Alimudin dan lain-lain.

“Begitu juga AJP lantikan Salahuddin di dalam Nafas, di semua Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dan PPK seluruh Malaysia juga wajar tamatkan dengan segera”.

“Sebagai pemimpin pembangkang, amat tidak wajar Mazlan terus memegang jawatan itu. Sepatutnya beliau meletak jawatan lebih awal iaitu sejurus tumbangnya Kerajaan Pakatan Harapan (PH).”

“Sebaliknya bukan menunggu perkhidmatannya ditamatkan oleh Kerajaan Persekutuan dan Menteri MOA yang baharu”, tegasnya.

Jaimin mengulas mengenai penamatan perkhidmatan Mazlan yang berasal dari Johor sebagai Pengerusi LPP berkuatkuasa 1 April 2020.

Ahli-ahli peladang difahamkan Dr. Ronald telah menghantar surat memaklumkan penamatan perkhidmatan Mazlan pada 31 Mac 2020.

Penamatan itu adalah selaras dengan keputusan Kementerian menyemak semula keanggotaan semua Lembaga Pengarah Badan Berkanun Persekutuan di bawah MOA susulan barisan Anggota Pentadbiran Kerajaan telah disusun semula pada 9 Mac 2020.

Jaimin berharap, Pengerusi LPP baharu yang akan dilantik oleh Menteri MOA terdiri daripada pemimpin yang prihatin dan mengutamakan kemajuan ahli-ahli peladang seluruh negara.-pr/BNN