KUDAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Daerah Kudat (DM16) telah memberi bantuan kecemasan bagi memindahkan seorang pesakit yang mengalami apendiks pecah dan seorang Ibu mengandung berumur 21 tahun yang menghidap masaalah alahan yang teruk dari Karakit, Pulau Banggi, baru baru ini.
Kedua mereka dipindahkan ke Hospital Kudat untuk mendapatkan rawatan segera. Pesakit pertama Kayung Bin Minjiran diiringi oleh anak bernama Norliana Binti Abddullah dan ibu mengandung tersebut dikenali sebagai Tiara Binti Jahadi diringi oleh bapa saudara bernama Naza Bin Mazis.
Menurut lapuran, pada Jun 1 Jun, lebih kurang jam 04.00 petang, bilik operasi Daerah Maritim 16 Kudat telah menerima panggilan daripada Dr Wong Biing Sheng yang bertugas di Klinik Kesihatan Karakit, Pulau Banggi mengenai kejadian tersebut.
Beliau memaklumkan bahawa sebuah bot diperlukan untuk menghantar pesakit ke Hospital Kudat dengan kadar segera memandangkan bot sedia ada mengalami kerosakan.
Hasil maklumat tersebut, Pengarah Maritim Malaysia Wilayah Sabah Dan Labuan Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Bin Mat Som mengarahkan Bot Pengawal 44 ke lokasi untuk memberi bantuan.
Bot Pengawal 44 tiba dijeti Karakit lebih kurang jam 07.20 malam seterusnya pesakit berjaya dipindahkan ke bot dan tiba di Jeti Marina Kudat lebih kurang jam 08.40 malam.
Pihak Hospital Kudat telah dimaklumkan dan sebuah van ambulans telah dihantar ke jeti Marina untuk memberi bantuan awal kepada pesakit tersebut.
Anggota Bot Pengawal 44 turut membantu memindahkan pesakit tersebut dari bot ke Ambulans. Pesakit tersebut dilaporkan berada dalam keadaan stabil sebelum mendapat rawatan susulan di Hospital Kudat.
“Agensi juga bersedia pada setiap masa dalam memberi bantuan yang sewajarnya kepada masyarakat dan agensi-agensi serta jabatan kerajaan yang lain ketika berlakunya kecemasan atau bencana. Semua masyarakat dimohon agar senantiasa melaporkan kepada pihak APMM sekiranya berhadapan dengan sebarang masalah dilaut dan boleh menghubungi MERS 999,” kata Mohd Zubil.-CE/BNN