KOTA KINABALU: Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BRRSATU) Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyifatkan kenyataan Ahli Parlimen (MP) Kota Kinabalu, Chan Foong Hin yang memintanya memberi penjelasan mengenai kontroversi terbaru pembangunan komersial di Sabindo Tawau, sebagai pelik dan melucukan.
Katanya, Chan selaku MP DAP merupakan sekutu Kerajaan Warisan Negeri, boleh mendapat maklumat dan penjelasan terperinci daripada pihak berkuasa berkaitan seperti Pejabat Peguam Negeri, Majlis Perbandaran Tawau (MPT) dan Jabatan Tanah dan Ukur.

“Saya fikir, saya tidak perlu membuang masa untuk mengulas dan memberi penjelasan seperti yang diminta oleh Chan, kerana ia sesuatu agak pelik dan melucukan.
“Lagi pun saya sekarang bukan dalam Kerajaan Negeri. Mereka yang kini dalam kerajaan tentu mempunyai kemudahan dan kuasa untuk mendapatkan penjelasan yang sejelas-jelasnya daripada pihak berwajib berkaitan.

“Saya ingin menasihatkan MP Kota Kinabalu (Chan) supaya menghormati keputusan mahkamah dan juga keputusan yang telah dibuat oleh pihak berkaitan.

“Yang saya boleh nyatakan ialah projek pembangunan tersebut telah diluluskan pada tahun 1997 lagi”, katanya dalam kenyataan bagi mengulas laporan muka depan akhbar Daily Express.

Chan dilaporkan berkata, Hajiji mungkin merupakan orang terbaik untuk menjelaskan kontroversi terbaru mengenai pembangunan komersial usaha sama open space di Sabindo Tawau.-pr/BNN