Dakwaan penubuhan JPKKP sebagai ketuanan Malaya tidak berasas, mengelirukan rakyat

0

KOTA KINABALU: Dakwaan cadangan penubuhan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) di Sabah sebagai satu bentuk ketuanan Malaya ke atas Sabah adalah tidak berasas dan mengelirukan.

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia  (Bersatu) Sabah, Encik Mohd.Isquzawan Datuk Arsit berkata, Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick sengaja membuat andaian dan tuduhan jahat terhadap cadangan baik daripada  Kerajaan Persekutuan.

Katanya, tidak berbangkit sama sekali soal ketuanan Malaya ke atas Sabah kerana JPKKP adalah organisasi yang dipimpin dan didokong oleh penduduk kampung sendiri.

“Saya fikir Ewon tidak faham fungsi JPKKP. ‘Ketuanan Malaya’ tidak timbul kerana mereka yang dilantik menganggotai JPKKP adalah orang-orang kampung yang tinggal di kampung berkenaan.

“Bersatu Sabah agak terkilan dan kesal dengan tuduhan tidak berasas oleh Ewon yang sengaja memutar belitkan fakta”, katanya dalam kenyataan.

Beliau mengulas kenyataan Ewon yang menyifatkan cadangan penubuhan JPKKP di Sabah sebagai satu bentuk ketuanan Malaya ke atas Sabah dan sama sekali tidak akan membantu ke arah penyatuan negara bangsa (nation building).

Ewon mendakwa badan pentadbiran kampung merupakan urusan Kerajaan Negeri Sabah selama ini dan sebarang cadangan pengujudan badan pentadbiran persekutuan seperti JPKKP merupakan pencerobohan autonomi.

Isquzawan berkata, penubuhan JPKKP bukan perkara baru di negara ini kerana sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14, kampung-kampung di negeri-negeri dibawah pemerintahan pembangkang seperti Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang ditadbir oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP).

Katanya, semasa Kerajaan Pakatan Harapan (PH), JKKK telah dijenama semula sebagai Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dengan elaun bulanan dibayar oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar Malaysia (KPLBM).

Namun ketika itu urusan pelantikan, pertukaran dan penamatan MPKK dikekalkan di bawah kuasa kerajaan negeri, manakala tatacara pengurusan dan dasar dikawal selia oleh KPLBM.

“Dahulu, elaun MPKK dibiayai oleh KPLB Malaysia,  jadi adakah ini juga satu bentuk ‘ketuanan Malaya’ yang dipersetujui oleh Kerajaan Negeri?”, soal beliau.

Mengenai bantahan Ewon bahawa penubuhan JPKKP akan menjadi satu pelaburan yang sia-sia jika Kerajaan Negeri tidak membenarkan pembangunan tanah kerana ia masih menjadi kuasa penuh Kerajaan Negeri, Isquzawan berkata, tidak berbangkit soal Kerajaan Persekutuan tidak menghormati autonomi Kerajaan Negeri.

Katanya, Ewon tentu sedar dan faham  bahawa penubuhan JPKKP bukan bertujuan merampas kuasa keatas tanah kerajaan atau orang kampung, kerana ianya adalah dibawah kuasa kerajaan negeri.

“Apa kaitan kuasa tanah negeri dengan penubuhan JPKKP di setiap kampung? MPKK juga tidak ada kuasa keatas tanah.

“Persoalannya ialah apa bentuk ‘pencerobohan ekonomi’ yg dilakukan oleh Kerajaan Pusat dengan menubuhkan JPKKP di setiap kampung di Sabah?

“Adakah Ewon sekadar meroyan kerana Pengerusi-Pengerusi MPKK sudah berbulan-bulan tidak dibayar elaun oleh kementeriannya dan Kerajaan Negeri?”, tegasnya.

Kerajaan Persekutuan telah memberhentikan peruntukan untuk membayar elaun kepada MPKK di Sabah setelah Kerajaan Warisan memilih untuk menjadi pembangkang di peringkat Persekutuan.

Isquzawan berkata, seperti yang dinyatakan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Malaysia, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad, tujuan JPKKP ditubuhkan ialah memastikan pembangunan di kawasan luar bandar dapat diteruskan dan menjadi penghubung antara kerajaan dan masyarakat kampung.

Menurutnya, matlamat Kerajaan Persekutuan ialah berusaha gigih untuk membangunkan sektor luar bandar di Sabah yang masih jauh ketinggalan.

Beliau berkata, pelantikan MPKK di Sabah yang dibuat oleh  Kerajaan Warisan mengandungi unsur-unsur politik sehingga menjejaskan fungsi, tugas dan perkhidmatannya kepada rakyat akar umbi.

“Bukti nyata ialah semasa pengagihan bantuan makanan dan bantuan “one off” Covid-19 Kerajaan Sabah semasa pandemik virus itu, ramai rakyat Sabah di akar umbi yang layak, miskin tidak menerima bantuan itu”, tegasnya.-pr/BNN