KENINGAU: Pemeriksaan tekanan darah secara percuma disediakan kepada jemaat yang menghadiri ibadah Sabat di Gereja Seventh-day Adventist (SDA) Toboh Baru, di sini, pagi kelmarin sebagai usaha meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan penjagaan kesihatan dalam kalangan komuniti setempat.

Program ringkas namun bermakna itu dilaksanakan seiring ibadah Sabat, mencerminkan pendekatan holistik gereja dalam memelihara kesejahteraan jasmani dan rohani jemaat.

Inisiatif berkenaan dikendalikan oleh Ahli Farmasi, Edna Magdalena Jasper John Gitang, yang turut memberikan pemeriksaan tekanan darah serta nasihat asas kesihatan kepada jemaat, khususnya berkaitan pencegahan awal penyakit tidak berjangkit seperti darah tinggi.

Menurut penganjur, program itu bertujuan memupuk kesedaran bahawa penjagaan kesihatan merupakan tanggungjawab bersama dan perlu diberi perhatian secara berterusan, selain menjadi sebahagian daripada amalan kehidupan beriman.

Usaha tersebut juga memperlihatkan komitmen gereja dalam memperluaskan peranan ibadah sebagai wadah kebajikan, bukan sahaja melalui pengisian kerohanian, malah dengan keprihatinan terhadap kesihatan dan kesejahteraan komuniti.-pr/BNN