KOTA KINABALU: Persatuan Agensi Umrah dan Haji Sabah (PAUHS) memandang serius pelaksanaan keperluan jaminan bank berjumlah RM250,000 sebagai syarat pembaharuan lesen agensi umrah.

Presidennya, Nor Azmi Abi Shafian berkata pihaknya menghormati hasrat kerajaan untuk memperkukuh tadbir urus industri, meningkatkan integriti serta memastikan perlindungan menyeluruh kepada para jemaah.

“Kami menyokong sepenuhnya tindakan tegas terhadap mana-mana agensi yang terlibat dalam penipuan, pecah amanah atau gagal menunaikan tanggungjawab kepada pelanggan.

“Penggantungan lesen, penalti berat dan senarai hitam wajar dikuatkuasakan tanpa kompromi bagi memastikan hanya pengendali yang berwibawa kekal dalam industri,” katanya.

Beliau berkata demikian susulan pengumuman Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bahawa syarat baharu itu akan berkuat kuasa mulai 15 Mei 2026 dan terpakai kepada agensi umrah serta pelancongan ke luar negara.

Namun, Azmi berkata pelaksanaan secara menyeluruh dengan nilai jaminan bank yang tinggi menimbulkan kebimbangan terhadap keseimbangan serta kelestarian jangka panjang ekosistem industri umrah, khususnya di Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, pendekatan itu berisiko mewujudkan struktur industri yang didominasi pemain besar dan berkapital tinggi, sekali gus mengehadkan peluang pengusaha kecil dan sederhana yang selama ini beroperasi secara beretika serta memainkan peranan penting dalam memperluas akses orang ramai menunaikan umrah.

“Jika tidak dikaji semula segera, dasar ini boleh membentuk landskap industri yang kurang kompetitif, di mana kekuatan modal menjadi penentu utama kelangsungan, bukannya integriti atau kualiti perkhidmatan.

“Keadaan ini boleh melemahkan dinamik pasaran dan menghakis semangat keusahawanan dalam kalangan pengendali tempatan,” katanya.

Azmi turut menegaskan bahawa berdasarkan pemerhatian industri, kes penipuan umrah yang dilaporkan lebih kerap melibatkan agensi di Semenanjung Malaysia, manakala kes melibatkan pengendali dari Sabah dan Sarawak adalah jarang berlaku.

Sehubungan itu, katanya, dasar bersifat menyeluruh tanpa mengambil kira corak risiko yang berbeza boleh menimbulkan persepsi ketidakadilan serta membebankan pengendali di Borneo secara tidak seimbang.

“Pengawalseliaan yang berkesan perlu bersifat strategik dan bersasar, dengan memberi tumpuan kepada pihak berisiko tinggi, bukannya memberi kesan meluas sehingga menekan agensi yang mempunyai rekod baik,” katanya.

Beliau menambah, pendekatan sedia ada wajar diperhalusi supaya objektif perlindungan pengguna dapat dicapai tanpa menjejaskan daya maju pemain industri yang patuh.

Dalam hal ini, PAUHS berpandangan keperluan tersebut perlu dikaji secara menyeluruh dan dilaksanakan melalui pendekatan yang lebih seimbang bagi mengelakkan kesan jangka panjang yang tidak diingini terhadap struktur industri.

Azmi berkata dasar yang kukuh bukan sahaja perlu tegas, tetapi juga adil, praktikal serta mencerminkan realiti operasi di lapangan.

Bagi memastikan keseimbangan tersebut, PAUHS menggesa pihak berkuasa mempertimbangkan beberapa cadangan, antaranya pengiktirafan instrumen perlindungan alternatif seperti skim insurans yang mampu memberi jaminan kepada jemaah tanpa menjejaskan keupayaan kewangan pengendali kecil.

Selain itu, beliau menekankan keperluan penglibatan industri yang lebih menyeluruh dan tersusun sebelum sesuatu dasar dimuktamadkan, agar pelaksanaannya benar-benar mencerminkan keperluan sebenar industri.

Pendekatan penguatkuasaan berasaskan data dan risiko juga dicadangkan supaya tindakan tertumpu kepada agensi bermasalah, sekali gus mengelakkan pengendali berintegriti daripada terbeban secara tidak wajar.

PAUHS percaya kerajaan tidak berniat untuk menjejaskan pemain industri, sebaliknya berusaha memperkukuh ekosistem umrah negara.

Namun, Azmi berkata pengenalan dasar berskala besar perlu dilaksanakan dengan berhati-hati agar tidak secara tidak sengaja menyekat penyertaan industri atau mengehadkan pertumbuhan pemain tempatan.

“Industri umrah bukan sekadar sektor ekonomi, tetapi satu amanah dalam mengurus perjalanan ibadah umat Islam,” katanya.

Menurutnya, setiap keputusan dasar perlu memperkukuh keyakinan, memelihara kestabilan industri dan memastikan peluang kekal terbuka kepada pengendali yang berdaya saing serta beretika.

PAUHS, katanya, kekal komited untuk bekerjasama secara konstruktif dengan kerajaan bagi memastikan industri umrah terus mampan, inklusif dan diyakini.

“Kami yakin kajian semula yang teliti pada peringkat ini akan membantu membentuk ekosistem industri yang lebih kukuh, berdaya tahan dan adil untuk semua pihak berkepentingan,” katanya.

Beliau menegaskan masa depan industri tidak seharusnya ditentukan oleh keupayaan modal semata-mata, sebaliknya berteraskan integriti, akauntabiliti dan kepercayaan, sambil berharap pertimbangan sewajarnya diberikan demi kepentingan jemaah, industri dan negara.-BNN