KUALA LUMPUR: Sabah Energy Corporation Sdn. Bhd. (SEC) hari ini mengumumkan pertukaran Heads of Agreement (HoA) dengan PETRONAS bagi pembangunan Kluster Mutiara, iaitu sumber gas luar pesisir strategik yang terletak di perairan luar Sandakan.
SEC diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir. Ts. Adzmir Abd Rahman, manakala PETRONAS diwakili oleh Ziaril Faiz Zakaria, Pengurus Besar Kanan, Pengurusan Hidrokarbon Bersepadu, PETRONAS.
Majlis tersebut disaksikan oleh YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor, Ketua Menteri Sabah; YBhg Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS; YB Datuk Seri Panglima Safar Untong, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah; YBhg Datuk Annuar Ayub, Pengerusi SEC; serta YBhg Datuk Bacho Pilong, Naib Presiden Kanan, Malaysia Petroleum Management (MPM).
HoA ini menetapkan rangka kerja komersial dan kerjasama ke arah perjanjian jual beli gas pada masa hadapan, bagi menyokong pembangunan serta pengewangan sumber gas daripada Kluster Mutiara untuk memenuhi keperluan tenaga jangka panjang Sabah.
Dengan sasaran pengeluaran gas pertama pada awal 2029, Kluster Mutiara dijangka memainkan peranan penting dalam merombak landskap bekalan tenaga negeri ini. Ketika ini, gas asli membekalkan 86 peratus keperluan tenaga elektrik Sabah, namun tumpuan bekalan tersebut lebih terarah ke Pantai Barat, manakala Pantai Timur bergantung kepada penghantaran LNG berskala kecil.
Pembangunan Kluster Mutiara bertujuan menangani ketidakseimbangan ini dengan membolehkan bekalan gas yang berskala, boleh dipercayai dan sesuai untuk kegunaan industri ke Pantai Timur, sekali gus menyokong keselamatan tenaga, aktiviti ekonomi serta pembangunan industri hiliran di Sandakan dan kawasan sekitarnya.
Di samping pembangunan infrastruktur, HoA ini mencerminkan komitmen bersama SEC dan PETRONAS untuk memperkukuh kerjasama dalam membuka potensi sumber gas tempatan Sabah secara bertanggungjawab, di samping menyokong pasaran tenaga negeri yang lebih seimbang dan berdaya tahan.
Pembangunan Kluster Mutiara juga selari dengan agenda pembangunan SMJ 2.0 dan dijangka menyumbang kepada pelaburan berterusan, penciptaan peluang pekerjaan serta pertumbuhan ekonomi jangka panjang negeri.-pr/BNN




