KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri komited memperkukuh pembangunan modal insan menerusi pelaksanaan Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir yang mampu memenuhi keperluan industri masa depan, termasuk kecerdasan buatan (AI), teknologi digital dan sektor strategik berimpak tinggi.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, pembangunan bakat tempatan merupakan antara keutamaan Kerajaan Negeri bagi memastikan lebih ramai rakyat Sabah dapat mengisi peluang pekerjaan berkualiti yang diwujudkan hasil pelaburan baharu serta pertumbuhan sektor ekonomi strategik.
Menurut beliau, kerajaan menyasarkan untuk melihat lebih ramai anak Sabah muncul sebagai jurutera, ahli teknologi, juruteknik mahir, saintis data, pakar AI dan pemimpin industri yang mampu bersaing di peringkat global.
“Kerajaan Negeri kekal komited melaksanakan agenda pembangunan berteraskan rakyat menerusi SMJ 2.0, dengan matlamat membina sebuah negeri yang makmur, berdaya saing dan inklusif, di mana manfaat pembangunan dapat dinikmati secara saksama oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang,” katanya pada majlis penyampaian bantuan Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) 2026 kepada kesatuan-kesatuan sekerja Sabah di Hotel Magellan Sutera, di sini, pada Isnin.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Ewon Benedick. Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Aman.
Hajiji berkata, dunia pekerjaan kini sedang mengalami perubahan besar didorong oleh teknologi digital, automasi dan AI yang mengubah landskap pekerjaan serta mewujudkan peluang kerjaya baharu yang memerlukan set kemahiran berbeza.
Sehubungan itu, beliau berkata, kesatuan sekerja perlu bergerak seiring dengan perubahan tersebut melalui pemerkasaan pendigitalan organisasi, meningkatkan kemahiran ahli menerusi inisiatif peningkatan kemahiran (upskilling), serta mematuhi piawaian antarabangsa.
Beliau turut menyeru kerjasama lebih erat antara kesatuan sekerja, majikan, institusi latihan dan agensi kerajaan bagi membudayakan pembelajaran sepanjang hayat serta memperluaskan peluang latihan semula (reskilling) dan peningkatan kemahiran (upskilling) dalam kalangan pekerja.
Menurutnya, agenda itu selaras dengan aspirasi SMJ 2.0 yang memberi penekanan kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai laluan utama melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
“TVET bukan lagi pilihan alternatif, sebaliknya menjadi laluan penting dalam menyediakan tenaga kerja yang diperlukan industri masa depan.
“Sabah mempunyai potensi besar dalam sektor tenaga, minyak dan gas, ekonomi biru, pelancongan, pembuatan maju serta teknologi hijau yang semuanya memerlukan tenaga kerja kompeten dan berkemahiran tinggi,” katanya.
Hajiji berkata, kejayaan pembangunan negeri bergantung kepada kerjasama kukuh antara kerajaan, majikan dan pekerja dalam mewujudkan hubungan perusahaan yang harmoni serta mampan.
Beliau turut menggesa majikan agar terus membudayakan persekitaran kerja yang adil, prihatin dan beretika, manakala pekerja pula digalakkan sentiasa meningkatkan kemahiran dan pengetahuan agar kekal relevan dengan keperluan industri.
Katanya, pemimpin kesatuan sekerja juga perlu terus memainkan peranan sebagai suara yang bertanggungjawab dan berpandangan jauh dalam memperjuangkan kebajikan pekerja, di samping menyumbang kepada kemajuan negeri dan negara.
Pada masa sama, Hajiji berkata, kerajaan sentiasa mengiktiraf peranan penting kesatuan sekerja sebagai jambatan yang menghubungkan aspirasi pekerja, majikan dan kerajaan, selain menjadi antara pemangkin kepada hubungan perusahaan yang stabil serta meningkatkan keyakinan pelabur.
Beliau berkata, menerusi Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS), Kerajaan MADANI memperuntukkan sebanyak RM6.1 juta bagi pelaksanaan program itu di seluruh negara tahun ini, termasuk RM310,000 kepada 38 kesatuan sekerja di Sabah.
“Gunakan peruntukan ini dengan sebaik-baiknya dan penuh tanggungjawab bagi meningkatkan kompetensi ahli, memperkukuh sistem pengurusan organisasi serta melaksanakan program yang memberi manfaat kepada para pekerja,” katanya.-pr/BNN





